TEXAS: Jualan kereta elektrik Tesla di Eropah merosot secara mendadak dalam suku pertama tahun ini, sekaligus memberi tamparan terbaharu kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, yang kini dikritik hebat susulan pembabitannya dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut data terbaharu dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Automotif Eropah (ACEA), jualan kereta Tesla di 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) merosot sebanyak 45 peratus kepada lebih 36,000 unit dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2025.
Bagi bulan Mac sahaja, jualannya merosot 36 peratus, menjadikan Tesla sebagai kumpulan automotif yang mencatatkan kejatuhan paling besar berbanding jenama lain meskipun pasaran kenderaan elektrik secara keseluruhan menunjukkan peningkatan.
Keputusan itu hadir dalam suasana protes terhadap Tesla, termasuk tindakan vandalisme, boikot dan demonstrasi di Eropah serta AS ekoran pemotongan besar-besaran dalam perkhidmatan awam yang diperkenalkan oleh Musk dalam kapasiti beliau sebagai penasihat kanan kepada pentadbiran Trump.
Pada Selasa lalu, Tesla melaporkan keuntungan suku pertama merosot sebanyak 71 peratus, dengan syarikat itu menyifatkan kemerosotan itu sebagai kesan daripada ‘perubahan sentimen politik’.
Tesla mencatat keuntungan sebanyak AS$409 juta (RM 1.2 juta) selepas jualan merosot, manakala hasil pendapatan susut sembilan peratus kepada AS$19.3 bilion (RM 84 bilion).
Susulan itu, Musk mengumumkan akan mengurangkan penglibatannya dalam pentadbiran Trump bermula Mei ini bagi memberi tumpuan semula kepada Tesla.
Pentadbiran Trump sebelum ini melaksanakan dasar perdagangan agresif termasuk tarif import sebanyak 25 peratus ke atas kenderaan yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeluar kereta.
“Ketidaktentuan dalam pasaran automotif dan tenaga semakin meningkat apabila dasar perdagangan yang berubah-ubah memberi kesan buruk terhadap rantaian bekalan global dan struktur kos Tesla serta rakan industri,” demikian menurut kenyataan Tesla.
Tesla juga menyenaraikan tarif perdagangan sebagai antara halangan utama selain portfolio model kereta yang dikatakan sudah lapuk namun, syarikat itu memberi jaminan akan melancarkan beberapa model baharu yang lebih mampu milik dalam separuh pertama 2025.