India, Pakistan tidak mampu berperang

India, Pakistan tidak mampu berperang

ORANG ramai melihat kediaman yang dimusnahkan oleh pasukan keselamatan India selepas mengesyaki ia dihuni suspek serangan Pahalgam di Pulwama, India. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan menggesa supaya satu siasatan ‘adil dan sepenuhnya’ dilakukan susulan kes 26 pelancong ditembak mati dalam insiden serangan kumpulan pemberontak di wilayah Kashmir yang ditadbir India pada Selasa lalu.

Insiden itu menyaksikan hubungan India dan Pakistan terus tegang sehingga menyebabkan pasukan tentera kedua-dua negara saling berbalas tembakan selama tiga hari berturut-turut di kawasan sempadan.

Setakat ini, India sudah mengenal pasti dua daripada tiga suspek penyerang sebagai warga Pakistan, namun dinafikan oleh Islamabad.

“Pakistan bersedia bekerjasama terhadap mana-mana siasatan yang menyeluruh dan adil yang memastikan pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Pakistan komited menge­kalkan keamanan, kestabilan mengikut norma antarabangsa dan sesekali tidak akan menggadaikan kedaulatan negara kami,” kata Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi.

TUDUHAN TIDAK BERASAS

Terdahulu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, tragedy yang berlaku di Pahalgam merupakan satu lagi ‘permainan tuduhan tidak berasas’ yang dilakukan India dan perlu dihentikan serta-merta.

Perdana Menteri India, Narendra Modi pula berikrar untuk mencari semua pihak yang terlibat sehingga ke ‘lubang cacing’ dan akan dihukum paling setimpal.

Tidak hanya di peringkat pemimpin, ahli politik di kedua-dua negara juga saling bertelagah dan masing-masing mendesak supaya tindakan tegas dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab.

SALING BERBALAS TINDAKAN

Selepas insiden itu, India dan Pakistan saling berbalas tindakan seperti menutup ruang udara, jalan darat antara kedua-dua negara.

India turut menghentikan perkongsian sumber air kepada Pakistan menerusi Sungai Indus yang sudah dilakukan sejak 1960 menerusi satu perjanjian persetujuan.

Tentera kedua-dua negara juga saling berbalas tembakan tiga hari berturut-turut selepas empat tahun kedua-dua negara dalam keadaan ‘tenang’.

Tentera India memaklumkan, mereka bertindak balas berikutan tentera Pakistan melepaskan sejumlah tembakan pada tengah malam kelmarin di laluan sempadan sepanjang 740 kilometer yang memisahkan Pakistan dan India dari kawasan Kashmir.

Tiada kecederaan mahu pun kematian dilaporkan setakat ini.

SITUASI TIDAK PERNAH SEBURUK INI

Bekas diplomat Pakistan, Maleeha Lodhi berkata, wujud ‘suasana tidak menentu’ di Pakistan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini.

Katanya, kedua-dua negara terlibat dengan konfrontasi paling teruk setakat ini dan sudah tentu pemimpin Pakistan dan India ‘bimbang memikirkan’ apa yang boleh berlaku selepas ini.

Maleeha juga menyatakan, ucapan retorik dari kedua-dua pemimpin menambah lagi situasi tegang yang tercetus dan tidak mustahil jika Pakistan serta India boleh berperang pada bila-bila masa.

“Ketakutan dan kebimbangan yang muncul ketika ini boleh berubah menjadi peperangan yang mungkin kita tidak dapat bayangkan,” katanya.

AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA

Dalam pada itu, warga India yang tinggal di kawasan sempadan Jammu dan Kashmir juga sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga ketika ketegangan kedua-dua negara semakin memuncak.

“Kami adalah penduduk yang tinggal di kawasan sempadan. Apa pun yang berlaku di India, Kawasan kami akan menjadi lokasi pertama yang terjejas,” kata seorang penduduk, Balvir kaur.

Katanya, mereka sedang menyiapkan diri sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku insiden yang tidak diingini.

TIDAK MAMPU BERPERANG

Menerusi artikel yang dikeluarkan oleh saluran berita Dawn Pakistan, sudah tiba masanya untuk kedua-dua negara sekali lagi melakukan diplomasi kerana India dan Pakistan tidak mampu berperang.

Artikel itu menggesa supaya India dan Pakistan mengendalikan ketegangan yang timbul dengan sewajarnya kerana peperangan hanya memburukkan keadaan selain kedua-dua negara tidak mampu bertahan.

Pihak berkuasa India terus memburu pihak yang bertanggungjawab dalam serangan tersebut, termasuk memusnahkan sejumlah kediaman dipercaya dihuni lima suspek pemberontak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN