WASHINGTON: Bank Dunia, memberi amaran peningkatan ketidaktentuan perdagangan global memburukkan lagi masalah hutang serta pertumbuhan perlahan dalam kalangan pasaran baharu dan negara membangun.
Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill berkata, negara terbabit masih mampu meraih manfaat besar jika mereka segera mengurangkan tarif import masing-masing.
Tambahnya, krisis semasa yang berpunca daripada dasar kerajaan termasuk tarif tinggi Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden, Donald Trump berbeza dengan krisis global sebelum ini dan masih boleh dipulihkan.
Menurut Gill, pertumbuhan perdagangan global kini diunjur hanya 1.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding lapan peratus pada awal 2000.
Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada 150 negara membangun kini berada dalam tekanan hutang, dengan bayaran faedah mencecah 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), paras tertinggi sejak 1990.
Negara miskin pula menanggung kos hutang sebanyak 20 peratus daripada KDNK.
Gill menegaskan, jika kadar faedah kekal tinggi dan pertumbuhan global terus perlahan, lebih banyak negara, termasuk pengeksport komoditi akan berdepan krisis hutang yang lebih parah.
Sementara itu, Presiden Bank Dunia, Ajay Banga dalam satu temu bual bersama AFP turut menasihatkan negara-negara membangun agar mempercepatkan rundingan perdagangan dengan AS dan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan perdagangan serantau.
“Anda perlu merundingkan sistem perdagangan dengan AS secepat mungkin. Jika anda berlengah, ia akan menyusahkan semua pihak,” katanya.