KAHERAH: Hamas bersediamenamatkan perang di Semenanjung Gaza yang melibatkan pembebasan semua tebusan serta jaminan gencatan senjata selama lima tahun, kata seorang pegawai kumpulan itu pada Sabtu ketika rundingan dengan perantara diteruskan.
Delegasi Hamas kini berada di sini bagi berbincang dengan perantara Mesir berhubung penyelesaian kepada perang yang telah berlarutan selama 18 bulan.
Sementara itu, di lapangan, pasukan penyelamat melaporkan serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang.
Hampir lapan minggu selepas sekatan bantuan oleh Israel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bekalan makanan dan perubatan di Gaza semakin kehabisan.
Menurut pegawai Hamas yang enggan dikenali, kumpulan pejuang Palestin itu “bersedia untuk pertukaran tahanan secara satu kali serta gencatan senjata selama lima tahun.”
Usaha terbaharu ini hadir selepas Hamas sebelum ini menolak cadangan Israel awal bulan ini yang disifatkan sebagai “separa”, dengan menuntut perjanjian “menyeluruh” bagi menghentikan perang yang tercetus akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Cadangan Israel yang ditolak itu, menurut seorang pegawai kanan Hamas, menawarkan gencatan senjata selama 45 hari sebagai pertukaran untuk pembebasan 10 tebusan hidup.
Hamas tetap menuntut sebarang perjanjian gencatan senjata mesti membawa kepada penamatan perang sepenuhnya, pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan peningkatan mendadak dalam bantuan kemanusiaan.
Pengunduran Israel dan “pengakhiran kekal perang” turut terkandung dalam fasa kedua perjanjian gencatan senjata yang dimulakan pada 19 Januari lalu tetapi gagal selepas dua bulan, menurut pelan yang pernah dibentangkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Hamas cuba meneruskan perbincangan mengenai fasa kedua, namun Israel mahu fasa pertama dilanjutkan.
Israel menuntut semua tebusan yang diculik dalam serangan 2023 dikembalikan dan mendesak supaya Hamas dilucutkan senjata, tuntutan yang ditolak Hamas sebagai “garisan merah.”
“Kali ini, kami akan menegaskan jaminan berhubung pengakhiran perang,” kata pegawai kanan Hamas, Mahmud Mardawi.
“Israel boleh kembali berperang selepas sebarang perjanjian separa, tetapi ia tidak boleh berbuat demikian dengan perjanjian menyeluruh yang disertakan jaminan antarabangsa,” tambahnya.
Pada Sabtu, seorang lagi pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan mengulangi bahawa “sebarang cadangan yang tidak termasuk penghentian perang secara menyeluruh dan kekal tidak akan dipertimbangkan.”
“Kami tidak akan menyerahkan senjata selagi penjajahan masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan.
Gencatan senjata yang dimulakan pada 19 Januari lalu, hasil usaha Qatar, Amerika dan Mesir membolehkan peningkatan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tebusan dan tahanan Palestin di penjara Israel.
Namun, dengan pertikaian berterusan mengenai fasa seterusnya, Israel menghentikan semua bantuan ke Gaza sebelum menyambung semula serangan udara dan operasi darat.
Sejak itu, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikuasai Hamas, sekurang-kurangnya 2,111 rakyat Palestin terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan korban perang di Gaza kepada 51,495 orang, kebanyakannya orang awam.