ANKARA: Turkiye menegaskan Gaza adalah milik rakyat Palestin, sama seperti Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Presiden, Recep Tayyip Erdoga turut merujuk kepada Mesyuarat Parlimen-Penyokong Palestin yang dihoskan Turkiye pada 18 April lalu, dan menyatakan bahawa sokongan negaranya terhadap perjuangan Palestin diketahui oleh seluruh dunia.
“Seperti Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, Gaza adalah milik rakyat Palestin. Insya-Allah, saudara-saudari kita di Gaza akan terus hidup selama-lamanya di tanah kelahiran mereka.
“Rakyat Palestin sudah berulang kali menunjukkan mereka tidak akan menyerah kalah, tidak akan meninggalkan tanah air mereka dan tidak akan tunduk kepada penindasan walau apa pun kesukaran dan kekejaman yang mereka hadapi,” katanya lagi dipetik Anadolu.
Beliau menyifatkan serangan ke atas Gaza sejak 18 bulan lalu sebagai antara pembunuhan beramai-ramai paling kejam dalam abad ini, tetapi juga sebagai lambang perjuangan yang membanggakan umat manusia.
Mengecam kekejaman Israel di Gaza, Erdogan menegaskan bahawa tiada apa yang boleh dicapai dengan meneruskan pertumpahan darah dan menyekat bantuan makanan serta perubatan.
“Kini sudah jelas bahawa tiada apa yang dapat dicapai di Gaza dengan menumpahkan lebih banyak darah, membunuh lebih ramai kanak-kanak, membiarkan rakyat kelaparan, kehausan dan tanpa ubat-ubatan,” tegasnya.
Erdogan menggesa semua pihak agar berfikir secara rasional dan tidak mensia-siakan peluang kestabilan yang sedang terbuka di rantau ini.
“Segala yang kami ucapkan adalah demi keamanan, keselamatan dan kewujudan bersama semua bangsa di rantau ini. Insya-Allah, kami akan terus berusaha untuk keamanan dan kestabilan pada masa akan datang,” tambahnya.