HANOI: Seorang jutawan hartanah Vietnam, Truong My Lan, yang sebelum ini dihukum penjara seumur hidup bagi kesalahan mengubah wang haram lebih AS$17 bilion (RM75 bilion) bakal mengetahui nasib rayuannya hari ini (Isnin) selepas dia mendakwa kejadian itu berlaku secara ‘tidak sengaja.’.
Lan yang juga berdepan hukuman mati dalam kes berasingan kerana didapati bersalah mencuri dana daripada Saigon Commercial Bank (SCB) serta melakukan penipuan bernilai AS$27 bilion (RM119 bilion), sebelum ini gagal dalam cubaan mencabar keputusan hukuman mati tersebut.
Mahkamah rayuan menolak pengurangan hukuman berkenaan, namun memaklumkan, hukuman mati boleh diketepikan sekiranya Lan memulangkan tiga perempat daripada jumlah aset yang dicurinya.
Kini, wanita berusia 68 tahun itu menunggu keputusan rayuan terbaharu oleh mahkamah di Bandar Ho Chi Minh berhubung sabitan dalam perbicaraan kedua pada Oktober lalu, di mana dia dihukum penjara seumur hidup bagi tiga pertuduhan jenayah.
Dalam rayuan terakhirnya minggu lalu, Lan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘satu kemalangan’.
“Sejak dipenjarakan, saya telah berusaha sedaya upaya untuk mencari penyelesaian terbaik berkaitan projek dan harta saya,” katanya seperti dilaporkan media arus perdana Vietnam.
Perbicaraan turut menyentuh bagaimana aset miliknya boleh digunakan untuk membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat.
“Tolong hargai usaha saya,” tambahnya.
Lan sebelum ini didapati bersalah mengubah wang haram sebanyak AS$17.7 bilion serta menyeludup wang secara haram merentas sempadan bernilai AS$4.5 bilion (RM20 bilion).
Beliau juga disabitkan kesalahan penipuan bon bernilai AS$1.2 bilion (RM5.3 bilion).
Sepanjang proses rayuan, pihak pendakwa memohon agar hukuman terhadap Lan diringankan atas alasan dia telah memulangkan satu perempat daripada jumlah wang yang diperoleh hasil penipuan terhadap ribuan pelabur bon.
Pada perbicaraan Oktober lalu, mahkamah memutuskan bahawa Lan merupakan “dalang utama” yang melakukan jenayah tersebut dengan kaedah yang kompleks dan berulang kali, menyebabkan kerugian serius kepada negara.
Seramai 33 lagi individu turut dijatuhkan hukuman dalam perbicaraan itu, dengan hukuman penjara antara dua hingga 23 tahun.
Media tempatan melaporkan, 27 daripada mereka turut memfailkan rayuan.