GAZA: Hamas mengutuk kenyataan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang mendesak kumpulan pejuang yang memerintah Semenanjung Gaza itu melepaskan tawanan Israel dan meletakkan senjata bagi mengakhiri konflik yang berlaku.
Pegawai senior Hamas, Basem Naim berkata, kenyataan Mahmoud yang mendesak Hamas membebaskan semua tawanan dengan alasan penahanan mereka memberi Israel alasan untuk menyerang Gaza, sebagai satu penghinaan.
“Mahmoud berulang kali dan secara mencurigakan meletakkan kesalahan dan kejahatan rejim Zionis terhadap rakyat Gaza” katanya pada Khamis.
Beliau sehari sebelum itu mengkritik Hamas yang didakwa sengaja memberi alasan untuk Israel melakukan kejahatannya di Gaza.
“Saya yang membayar harganya, rakyat kami yang membayar harganya, bukan Israel. Saudaraku, serahkan sahaja mereka (tebusan).
“Setiap hari ada sahaja kematian. Serahkan segalanya dan lepaskan kami dari penderitaan ini,” kata Mahmoud dalam pertemuan di Ramallah, markas Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat.
Perpecahan politik dan ideologi antara parti Fatah pimpinan Mahmoud dan Hamas sudah wujud selama hampir 20 tahun.
Mahmoud dan PA sering menuduh Hamas merosakkan perpaduan Palestin, sementara Hamas mengkritik Mahmoud kerana bekerjasama dengan Israel.
Pergerakan Mujahidin Palestin, yang berpecah daripada Fatah yang dipimpin Mahmoud mengeluarkan satu kenyataan rasmi melalui platform Telegram pada Rabu bagi mengecam kenyataan yang dibuat oleh Abbas.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan menghina yang dibuat oleh Presiden Mahmoud semasa mesyuarat Majlis Pusat berhubung perjuangan penentangan serta pejuang rakyat kami, yang jelas mengabaikan pengorbanan dan perjuangan rakyat serta mengetepikan penderitaan dan pengorbanan berterusan tahanan.
“Kami turut mengecam kepimpinan PA kerana terus mengangkat wacana yang menjenayahkan perjuangan penentangan dan dalam masa yang sama membebaskan penjajah daripada bertanggungjawab terhadap jenayah berterusan ke atas rakyat kami selama berdekad-dekad,” menurut kenyataan tersebut.
Pergerakan itu turut menyeru agar Mahmoud menarik balik kenyataannya serta memohon maaf kepada rakyat Palestin.