BEIJING: Hampir 200 hotel antarabangsa kini beroperasi atau dalam perancangan untuk dibuka di Xinjiang, walaupun kumpulan hak asasi manusia menggesa syarikat global tidak bersubahat dalam pelanggaran terhadap kemanusiaan oleh kerajaan China di wilayah itu.
Laporan Projek Hak Asasi Manusia Uyghur (UHRP) mengenal pasti 115 hotel yang sedang beroperasi dan dikatakan ‘mendapat faedah daripada kehadiran di wilayah Uighur’.
Sekurang-kurangnya 74 lagi hotel sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan atau perancangan, menurut laporan itu.
Pada 2023, The Guardian melaporkan beberapa pengendali pelancongan yang mengiklankan pakej percutian ke Xinjiang, dan kini syarikat hotel pula dilihat semakin giat mengembangkan perniagaan mereka di sana.
Jenama terkenal termasuk Accor Perancis, Hilton, Kumpulan IHG dari Britain, Marriot dan Wyndham, tersenarai antara ratusan hotel yang wujud atau sedang dibangunkan di seluruh wilayah tersebut.
Lokasi yang disenaraikan termasuk hotel mewah di bandar serta kawasan peranginan ski, menerima pelaburan besar daripada kerajaan China untuk membangunkan pelancongan musim sejuk.
Menurut laporan itu, sebuah hotel baharu yang dibuka oleh francais Hilton dilaporkan dibina di tapak sebuah masjid di Khotan yang dirobohkan dalam kempen kerajaan, menyaksikan lebih 10,000 tapak agama dimusnahkan.
“Membina hotel di tapak bekas masjid yang dirobohkan adalah sesuatu yang sangat keterlaluan, memandangkan kerajaan China menjalankan kempen besar-besaran untuk merobohkan masjid di seluruh Uighur sejak 2017,” kata laporan.
Katanya, hotel tersebut tidak kelihatan di laman tempahan pelancongan berbahasa Inggeris, sebaliknya di laman China, CTrip, menunjukkan ulasan sejak pertengahan 2024.
PROGRAM PEMINDAHAN BURUH
UHRP berkata, beberapa hotel juga mempunyai pendedahan atau kaitan membimbangkan terhadap buruh paksa serta program pemindahan buruh.
Dalam satu kajian kes lain, laporan tersebut mengenal pasti kaitan antara hotel Grand Mercure Urumqi Hualing milik Accor dengan satu program latihan dan pekerjaan.
Menurut laman media kerajaan dalam satu simposium berkata, seorang pengarah sumber manusia daripada hotel itu dilaporkan melawat dan menandatangani surat dengan ramai pelajar.
Simposium tersebut menyasarkan golongan belia dan pekerja ‘lebihan buruh luar bandar’ daripada kalangan etnik minoriti, konon sebagai sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk membasmi kemiskinan serta kestabilan sosial.
Kerajaan China mendakwa, skim pekerjaan di Xinjiang adalah sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan, namun dituduh terlibat dalam buruk paksa dan program pemindahan buruh yang melanggar hak asasi manusia.
Laporan berkata, rakan strategik Accor di China, H World Group Limited, menggunakan program pengambilan dan latihan pekerja dikenali sebagai Xinjiang Aid, yang menurut siasatan Kongres Amerika Syarikat (AS), menyumbang kepada risiko pemerdagangan manusia.
Pada 2020, empat agensi kerajaan AS memberi amaran program tersebut mungkin melibatkan buruh dari kem tahanan atau pekerja program buruh yang bersifat menindas.
JENAYAH TERHADAP KEMANUSIAAN
Peningkatan jumlah hotel berlaku seiring dengan usaha kerajaan China untuk mempromosikan Xinjiang sebagai destinasi pelancongan selepas bertahun-tahun dikritik dan dikenakan sekatan kerana tindakannya terhadap penduduk Islam tempatan.
Pada 2024, Xinjiang mencatatkan kira-kira 300 juta pelawat, termasuk hampir lima juta pelancong asing – meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2023.
Beberapa kerajaan dan kumpulan undang-undang mengisytiharkan tindakan China terhadap etnik Uighur serta etnik minoriti lain sebagai satu bentuk genosid, walaupun ia belum diputuskan secara rasmi oleh mana-mana mahkamah antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, dasar China di Xinjiang berkemungkinan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Human Rights Watch turut menyifatkan dasar tersebut – termasuk penahanan besar-besaran, buruh paksa serta sekatan hak beragama – merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kerajaan China menafikan semua tuduhan penderaan dan layanan buruk di Xinjiang.
Kumpulan hak asasi manusia berpendapat, kehadiran perusahaan asing di Xinjiang memberikan legitimasi kepada tindakan keras kerajaan China, dan menggesa syarikat tersebut supaya keluar dari wilayah itu.
November lalu, pengeluar kenderaan Volkswagen menjual kilangnya di Xinjiang selepas bertahun-tahun menerima tekanan.










