70 peratus mangsa melecur di Gaza adalah kanak-kanak - Utusan Malaysia

70 peratus mangsa melecur di Gaza adalah kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertubuhan Doctors Without Borders (MSF) menegaskan kecederaan akibat melecur di Semenanjung Gaza bukan sekadar luka biasa, sebaliknya sebagai ‘hukuman berpanjangan penuh penderitaan’.

Dalam satu kenyataan, MSF berkata ramai mangsa mengalami kecederaan melecur yang meliputi sehingga 40 peratus daripada keseluruhan tubuh mereka, berpunca daripada letupan bom dan kaedah memasak darurat yang terpaksa digunakan penduduk akibat sekatan.

“Ketika pihak berkuasa Israel terus mengekalkan sekatan terhadap Gaza dan menyekat akses kepada bantuan asas serta bekalan perubatan penting, ramai pesakit terpaksa menahan kesakitan yang amat dahsyat tanpa rawatan sewajarnya,” kata MSF.

Sejak serangan ketenteraan disambung semula pada 18 Mac lalu, pasukan MSF melaporkan peningkatan ketara jumlah pesakit melecur, kebanyakannya kanak-kanak.

Menurut MSF, pada bulan April sahaja, klinik mereka di Gaza City merawat purata lebih 100 pesakit dengan kecederaan melecur setiap hari.

“Sejak Mei 2024, pasukan MSF yang beroperasi di Hospital Nasser telah melakukan lebih 1,000 pembedahan terhadap pesakit melecur, dengan 70 peratus daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak, kebanyakannya berumur di bawah lima tahun,” ujar kenyataan itu.

MSF turut memaklumkan punca kecederaan melecur termasuklah letupan bom serta kemalangan semasa menggunakan air mendidih atau bahan api untuk memasak dan memanaskan badan di tempat perlindungan sementara.

Pertubuhan itu memberi amaran rawatan luka melecur yang teruk memerlukan penjagaan rapi jangka panjang termasuk pembedahan berulang, rawatan harian menukar balutan, fisioterapi, pengurusan kesakitan, sokongan psikologi, serta persekitaran steril bagi mengelakkan jangkitan.

Sejak Disember 2024, pasukan MSF di Gaza City, hospital lapangan di Deir al-Balah serta Hospital Nasser telah melakukan lebih 6,518 rawatan luka melecur, namun hampir separuh pesakit tidak kembali untuk rawatan susulan akibat runtuhnya sistem perkhidmatan kesihatan dan kesukaran untuk sampai ke pusat rawatan.

Menurut MSF, merujuk kepada Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lebih separuh daripada fasiliti kesihatan yang masih berfungsi di Gaza kini berada di kawasan yang telah diarahkan untuk dikosongkan, menjadikan perkhidmatan kesihatan hampir mustahil diakses. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya