32 cedera, 800 bangunan rosak gempa kuat 6.3 magnitud gegar Ecuador

32 cedera, 800 bangunan rosak gempa kuat 6.3 magnitud gegar Ecuador

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESMERALDAS: Gempa bumi cetek berukuran 6.3 magnitud menggegarkan bandar pelabuhan Esmeraldas di Ecuador, menyebabkan lebih 30 orang cedera, hampir 800 bangunan rosak serta gangguan bekalan elektrik secara meluas.

Menurut perkhidmatan kecemasan Ecuador, seramai 32 orang cedera, 179 rumah musnah sepenuhnya dan 716 rumah lain mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut.

Gegaran turut dirasai sejauh ibu negara, Quito.

Seorang nelayan tempatan, Andres Mafare, 36, berkata, dia sedang berjalan ke pelabuhan apabila terdengar bunyi retakan yang kuat diikuti gempa yang menggegarkan kabel-kabel elektrik berhampirannya.

“Saya berlari seperti orang gila, dan apabila sampai, saya terkejut melihat rumah saya sudah musnah,” katanya.

Seorang wartawan AFP di lokasi melaporkan terdapat banyak tembok runtuh, bahagian depan bangunan roboh ke atas jalan dan serpihan bertaburan, manakala beberapa bangunan mengalami retakan serius.

Ratusan keluarga berkumpul di luar dan memerhati kerosakan yang berlaku.

“Ia sangat kuat. Ia terasa sangat lama, walaupun gegaran sebenarnya mungkin berlaku kurang dari seminit,” kata bekas calon Presiden, Yaku Perez yang turut berada di lokasi kejadian.

Pihak berkuasa turut melaporkan empat pusat kesihatan dan 18 buah sekolah mengalami kerosakan, manakala bahagian depan sebuah bangunan ketenteraan turut runtuh sebahagiannya.

Dua jalan raya dan sebuah jambatan turut terjejas.

Anggaran rasmi menunjukkan kira-kira 80 peratus rumah kehilangan bekalan elektrik atau talian telefon.

Syarikat minyak negara, Petroecuador, memaklumkan bahawa operasi di loji penapisan Esmeraldas dan saluran paip berdekatan terpaksa digantung buat sementara waktu.

Loji tersebut menghasilkan 111,000 tong minyak sehari manakala sistem paip Transekuador menghantar 360,000 tong sehari.

Presiden Ecuador yang baru sahaja dipilih semula, Daniel Noboa berkata, beliau sudah mengarahkan menteri-menteri ke lokasi kejadian untuk membantu mengkoordinasi pembinaan pusat perlindungan dan penghantaran bantuan kemanusiaan.

“Kerajaan bersama anda dan akan terus bersama anda,” katanya melalui media sosial.

Di jalanan, penduduk kelihatan berjalan melalui runtuhan dan tembok yang tumbang.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan pemantau tempatan, gempa itu berlaku di luar pesisir pantai pada kedalaman kira-kira 35 kilometer dan berlaku sebelum pukul 7:00 pagi (waktu tempatan).

Pihak berkuasa Ecuador memaklumkan bahawa tiada ancaman tsunami dikesan susulan gempa tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya