NEW YORK: Sebanyak 12 negeri di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap pentadbiran Donald Trump di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS di New York bagi menghentikan dasar tarif, dengan alasan ia menyalahi undang-undang dan mencetuskan kekacauan dalam ekonomi negara.
Tuntutan mahkamah itu menyatakan dasar yang dilaksanakan oleh Trump menjadikan polisi perdagangan negara bergantung pada kehendak peribadi Trump, bukannya pelaksanaan kuasa yang sah.
Saman tersebut mencabar dakwaan Trump bahawa beliau boleh mengenakan tarif secara sewenang-wenangnya berdasarkan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Tuntutan itu turut meminta mahkamah mengisytiharkan tarif tersebut sebagai haram dan menghalang agensi kerajaan serta pegawainya daripada menguatkuasakannya.
Negeri-negeri yang terlibat sebagai plaintif dalam saman tersebut ialah Oregon, Arizona, Colorado, Connecticut, Delaware, Illinois, Maine, Minnesota, Nevada, New Mexico, New York, dan Vermont.
Dalam satu kenyataan, Peguam Negara Arizona, Kris Mayes, menyifatkan skim tarif Trump sebagai ‘tidak waras’ malah dasar itu bukan sahaja cuai dari segi ekonomi tetapi juga menyalahi undang-undang.
Saman itu menegaskan hanya Kongres mempunyai kuasa mengenakan tarif, dan presiden boleh menggunakan IEEPA apabila wujudnya keadaan kecemasan yang membawa ancaman luar biasa dan luar jangka dari luar negara.
“Dengan mendakwa mempunyai kuasa mengenakan tarif yang besar dan berubah-ubah ke atas mana-mana barangan yang masuk ke AS mengikut kehendaknya atas alasan kecemasan yang diisytiharkan sesuka hati, presiden telah meruntuhkan tatacara Perlembagaan dan mencetuskan kekacauan dalam ekonomi AS,” menurut saman tersebut.
Minggu lalu, Gabenor California, Gavin Newsom yang juga seorang Demokrat turut menyaman pentadbiran Trump di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Utara California berhubung dasar tarif itu.
Jurucakap Rumah Putih, Kush Desai membalas saman Newsom dengan menyatakan pentadbiran Trump tetap komited menangani kecemasan nasional yang merosakkan industri AS dan pekerja, dengan menggunakan semua kaedah, dari tarif sehingga rundingan.