Tesco Britain tawar makanan percuma elak pembaziran - Utusan Malaysia

Tesco Britain tawar makanan percuma elak pembaziran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Rangkaian pasar raya utama Britain, Tesco, melancarkan inisiatif baharu dengan menawarkan makanan secara percuma bagi mengurangkan pembaziran makanan dan mencapai matlamat sifar karbon.

Dalam kenyataan, Tesco mengumumkan mana-mana makanan yang hampir tamat tempoh akan diberikan secara percuma kepada pelanggan, berbanding membuangnya ke dalam tong sampah.

Program ini akan diuji di beberapa cawangan Tesco Express terpilih, khusus untuk pelanggan yang berkunjung selepas pukul 9.30 malam waktu tempatan.

“Langkah ini membolehkan kami meneruskan usaha mengurangkan pembaziran makanan dalam operasi kami,” menurut satu memo dalaman yang dilaporkan oleh The Telegraph.

Ketika ini, Tesco telah menjalankan program sedia ada yang menyalurkan makanan tidak terjual kepada badan kebajikan, dan inisiatif tersebut akan diteruskan.

Menurut Tesco, pekerja pasar raya itu juga diberi keutamaan untuk mendapatkan barangan berlabel pelekat kuning dengan potongan harga sehingga 90 peratus sebelum tawaran percuma kepada pelanggan bermula namun, menjelang waktu penutupan kedai, mana-mana makanan yang masih berbaki akan diberikan secara percuma.

Jurucakap Tesco memaklumkan percubaan ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk meneroka kaedah inovatif dalam mengurangkan pembaziran makanan.

“Kami sentiasa mencari cara baharu yang kreatif bagi mengurangkan pembaziran makanan. Percubaan di beberapa cawangan Express ini membolehkan pelanggan mengambil barangan berlabel kuning secara percuma di penghujung hari, selepas ia terlebih dahulu ditawarkan kepada badan kebajikan dan kakitangan,” katanya.

Tesco turut menegaskan komitmennya untuk menjadi neutral karbon menjelang 2035 dan mencapai sasaran sifar karbon bersih menjelang 2050.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif Tesco dalam menangani isu pembaziran makanan yang semakin membimbangkan di peringkat global, di samping memperkukuh peranan mereka dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN