Stesen TV Afghanistan dibuka semula

Taliban benarkan stesen TV Afghanistan dibuka semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Sebuah stesen TV Afghanistan telah beroperasi semula pada Sabtu selepas ditutup selama hampir tiga bulan oleh kementerian moraliti Taliban.

Menurut ketua stesen Arezo TV, Bassir Abid, pita penghalang yang diletakkan di pintu stesen tersebut di Kabul telah dibuka oleh pegawai Kementerian Penyebaran Kebaikan dan Pencegahan Kejahatan (PVPV) negara itu sebelum pihaknya memulakan semula operasi.

Pihak Taliban telah menutup stesen TV ini pada 4 Disember selepas PVPV menuduh saluran tersebut disokong oleh media yang sudah diharamkan di negara itu dan mengkhianati nilai-nilai Islam.

Tujuh pekerja Arezo TV telah ditangkap tetapi dibebaskan kemudian pada Disember, manakala media tersebut tetap ditutup.

Kerajaan Taliban masih belum memberikan sebarang penjelasan membenarkan stesen ini dibuka semula.

Sebuah kumpulan kebebasan media, Pusat Wartawan Afghanistan (AFJC) menyambut baik pembukaan semula itu namun dalam satu kenyataan mereka menganggap penutupan tersebut sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap hak media bebas yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurut AFJC, Arezo TV yang ditubuhkan pada 2006 di bandar Mazar-i-Sharif di utara Afghanistan membuka pejabatnya di Kabul pada 2010 untuk menghasilkan dokumentari alam liar dan menyunting siri-siri Turkiye.

Sektor media Afghanistan telah menyusut dengan ketara di bawah pemerintahan Taliban selama tiga tahun, manakala pemantau antarabangsa mengkritik pemerintah Kabul kerana didakwa menindas hak wartawan.

Menurut Reporters Without Borders (RSF), pihak berkuasa Taliban di negara itu telah menutup sekurang-kurangnya 12 saluran media pada 2024.

Jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid sebelum ini berkata, tiada sekatan dikenakan terhadap wartawan selagi mereka mempertimbangkan kepentingan negara dan nilai-nilai Islam serta mengelakkan penyebaran khabar angin.

Pada awal Februari, pihak berkuasa Taliban di Afghanistan telah menyerbu stesen radio wanita terkenal, Radio Begum di Kabul dan menggantung siarannya. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN