Singapura pertimbang hukuman sebat kepada scammer

Singapura pertimbang hukuman sebat kepada scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kerajaan Singapura akan mempertimbangkan hukuman sebat bagi beberapa kesalahan berkaitan penipuan, memandangkan kemudaratan serius yang ditimbulkan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling mengumumkan perkara itu dalam ucapannya semasa perbahasan belanjawan Kementerian Dalam Negeri (MHA).

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas berhubung cadangan Ahli Parlimen Jurong, Dr. Tan Wu Meng yang menggesa hukuman itu perlu digubal bagi kesalahan serius berkaitan penipuan.

“Kami akan mempertimbangkan cadangan Wu Meng supaya hukuman sebat ditetapkan untuk kesalahan berkaitan penipuan tertentu, berikutan bahaya serius yang boleh ditimbulkan,” katanya dipetik Straits Times.

Wu Meng turut menggesa MHA membenarkan hukuman sebat bagi kesalahan penipuan dengan membuat perbandingan Akta Pemberi Pinjaman Wang.

“Jika akaun bank seseorang digunakan untuk membantu peminjam wang tidak berlesen, dia berdepan denda antara 30,000 hingga 300,000 dolar Singapura (RM99,425 hingga RM994,254), penjara maksimum empat tahun dan sehingga enam sebatan,” jelasnya.

Kes penipuan di Singapura mencatat kehilangan wang berjumlah lebih 1.1 bilion dolar Singapura (RM3.64 bilion) pada 2024, menurut angka penipuan tahunan yang dikeluarkan oleh polis pada 25 Februari lalu.

Ini adalah kali pertama kerugian penipuan melepasi paras 1 bilion dolar Singapura (RM3.31 bilion) dalam setahun.

Secara keseluruhan, mangsa di Singapura telah kehilangan lebih 3.4 billion dolar Singapura (RM11.27 billion) akibat penipuan sejak 2019.

Pada 21 Ogos 2024, Panel Penasihat Penghukuman mencadangkan bahawa keldai wang yang membantu penipu perlu dipenjara sekurang-kurangnya enam bulan, hukuman yang lebih ketat daripada denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN