Polis tahan ratusan petani mogok di Punjab, guna jentolak roboh khemah

Polis tahan ratusan petani mogok di Punjab, guna jentolak roboh khemah

POLIS memusnahkan khemah menempatkan kumpulan petani mogok di kawasan Shambhu dan Khanauri berhampiran sempadan Haryana di Punjab.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Polis di Punjab menahan lebih 700 petani dan menggunakan jentolak untuk merobohkan khemah sementara yang dibina di kawasan sempadan selama lebih setahun sebagai tanda protes bagi menuntut harga hasil tanaman yang lebih baik.

Para petani berkhemah di Shambhu dan Khanauri berhampiran sempadan dengan Haryana sejak Februari tahun lalu apabila pasukan keselamatan menghentikan perarakan mereka ke arah New Delhi bagi mendesak jaminan yang disokong secara sah untuk sektor pertanian negara.

Jelas Pegawai Kanan Polis Punjab, Nanak Singh, para petani telah diberi notis lebih awal tentang tindakan itu.

Imej televisyen menunjukkan polis menggunakan jentolak untuk merobohkan khemah dan pentas, sambil mengiringi petani membawa barangan peribadi mereka memasuki kenderaan.

Media berkata, antara ratusan yang ditahan ialah ketua kumpulan petani, Sarwan Singh Pandher dan Jagjit Singh Dallewal, yang kemudiannya dibawa menaiki ambulans kerana berpuasa selama berbulan-bulan.

“Di satu pihak kerajaan sedang berunding dengan pertubuhan peladang dan di sisi lain ia menangkap mereka,” kata jurucakap kumpulan petani Bhartiya Kisan Union, Rakesh Tikait di laman X.

Parti Aam Aadmi (AAP) yang memerintah Punjab dan mengarahkan pengusiran itu berkata, pihaknya menyokong petani dalam tuntutan mereka, tetapi meminta kumpulan berkenaan untuk menyuarakan rungutan dengan kerajaan persekutuan.

“Mari kita bekerjasama untuk menjaga kepentingan Punjab. Menutup lebuh raya bukanlah penyelesaian,” kata Naib Presiden AAP, Tarunpreet Singh Sond, sambil menambah bahawa sekatan jalan utama telah menjejaskan ekonomi di negeri itu.

Kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi terpaksa memansuhkan beberapa undang-undang ladang pada 2021 selepas bantahan selama setahun oleh petani apabila mereka berkhemah di luar New Delhi selama berbulan-bulan.

Timbalan Presiden Parti Bharatiya Janata (BJP) di Punjab, Fatehjung Singh Bajwa memaklumkan, pegawai kerajaan persekutuan sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin kumpulan petani itu Rabu lalu.

“Adalah jelas bahawa penahanan ini adalah percubaan yang disengajakan untuk mengganggu dialog berterusan antara petani dan kepimpinan BJP,” tambahnya dalam catatan di laman X.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN