Penumpang rakam detik cemas kabin pesawat Batik Air 'berasap'

Penumpang rakam detik cemas kabin pesawat Batik Air ‘berasap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Penumpang penerbangan Batik Air ke Bangkok berdepan detik cemas apabila pesawat dinaiki tiba-tiba dipenuhi asap.

Insiden 24 Februari lalu itu dilaporkan berlaku dalam pesawat yang berlepas dari Johor Bahru pada 11.20 pagi dan hanya 30 minit sebelum dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.

Sebuah video TikTok dikongsi pengguna @kentmaherr dengan jumlah tontonan 2.1 juta itu memaparkan asap keluar dari ruang bagasi di bahagian hadapan pesawat.

Kejadian itu berlaku gara-gara powerbank yang disimpan dalam bagasi seorang penumpang dipercayai terbakar.

“Semua penumpang terkejut dengan asap tebal yang keluar dari ruang bagasi bersama bau terbakar yang menyengat,” tulisnya dalam kapsyen video tersebut.

Dalam video itu, tiga pramugari kelihatan meraba-raba ruang bagasi seperti mencari sumber asap sebelum memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

Setelah mendarat di lapangan terbang, pasukan bomba dan ambulans tiba untuk memastikan semua penumpang selamat, tambah kentmaherr.

“Ini kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk hidup,” katanya.

Penumpang turut memuji tindakan pantas pramugari tersebut memadam api dan menggambarkan keadaan ketika itu tenang kerana tiada yang panik.

Kebimbangan orang ramai terhadap kebakaran di dalam pesawat komersial semakin meningkat selepas sebuah pesawat Air Busan terbakar pada Januari lalu ketika menunggu untuk berlepas.

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan Korea Selatan melarang penumpang menyimpan powerbank dan rokok elektronik dalam ruangan bagasi atas kabin.

Pada 2024, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) melaporkan tiga insiden bateri litium terlalu panas di dalam pesawat dalam tempoh dua minggu di seluruh dunia berbanding kurang daripada satu insiden seminggu pada 2018.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN