Pegawai kanan Hamas maut dibedil tentera Israel ketika sedang solat

Pegawai kanan Hamas maut dibedil tentera Israel ketika sedang solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Serangan udara Israel di bandar selatan Khan Younis di Gaza membunuh pemimpin politik Hamas, Salah al-Bardaweel, lapor pegawai kumpulan pejuang itu.

Penduduk tempatan berkata, serangan udara itu membunuh Salah dan isterinya.

Pihak berkuasa Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai serangan itu.

Tentera Israel menyambung semula serangan besar-besaran ke atas Gaza pada Selasa atas alasan Hamas melanggar gencatan senjata sejak 19 Januari lalu, sekali gus menamatkan hampir dua bulan ketenangan di wilayah itu.

Hamas menolak tuduhan itu dan mendakwa Israel yang sebaliknya melanggar perjanjian gencatan senjata ditandatangani mereka dengan pengantaraan Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat (AS).

Seorang pegawai di Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata, seramai 32 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu di pelbagai kawasan di Gaza.

Dalam satu kenyataan, Hamas memaklumkan, Salah sedang solat bersama isterinya ketika peluru berpandu Israel mengenai khemah mereka, menurut agensi berita Reuters.

Salah pernah menjadi jurucakap Hamas dan sering muncul di media tempatan.

Beliau merupakan seorang daripada kira-kira sepuluh pegawai Hamas yang dilaporkan terbunuh sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada Selasa.

Antara yang dilaporkan terbunuh termasuk Ketua de facto kerajaan Hamas, Essam Addalees dan Ketua Keselamatan Dalam Negeri, Mahmoud Abu Watfa.

Tentera Israel melancarkan kempen untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan rentas sempadan yang belum pernah terjadi sebelum ini pada 7 Oktober 2023, di mana kira-kira 1,200 orang maut dan 251 lagi dijadikan tebusan.

Sejak serangan itu, Kementerian Kesihatan Gaza yang dikuasai Hamas melaporkan lebih 49,500 rakyat Palestin terbunuh dan kemusnahan besar berlaku terhadap rumah serta infrastruktur di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×