GAZA: Israel mengumumkan rancangan untuk menubuhkan pejabat penghijrahan ‘sukarela’ untuk rakyat Palestin di Gaza, yang bertujuan memudahkan pemindahan mereka ke negara ketiga.
Inisiatif, yang disokong oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dan diluluskan Kabinet, akan memberi tumpuan kepada mengatur dan memastikan pemindahan rakyat Palestin.
Bagaimanapun, rancangan itu tidak menyebut kemungkinan rakyat Gaza untuk kembali ke kampung asal mereka di Palestin.
Berita itu diketahui oleh seorang penduduk Gaza, Mohammed al-Nabahin, 77, ketika mendengar mengenai rancangan tersebut melalui radio.
“Idea itu langsung tidak boleh diterima. Jika mereka mahu memindahkan kami secara sukarela, maka biarkan kami kembali ke tanah kami di Palestin, tanah yang mereka usir kami,” katanya kepada Al Jazeera.
Rancangan itu selari dengan beberapa cadangan dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump awal tahun ini.
Walaupun belum diusir dari Gaza, Mohammed sudah pun dipaksa keluar daripada rumahnya di Bureij akibat perang Israel sejak 17 bulan lalu.
“Semua anak-anak sependapat dengan saya. Mereka semua menentang untuk meninggalkan Gaza walau apa pun berlaku,” kata Mohammed.
Beliau bagaimanapun tetap menegaskan bahawa tinggal di khemah dalam keadaan kekurangan di Gaza, jauh lebih baik daripada meninggalkan wilayah itu.










