SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan ketika ini bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang tercetus bagi menyelamatkan sejumlah khazanah purba yang berharga.
Kebakaran yang tercetus sejak seminggu lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 27 orang terkorban dan 32 cedera, selain disifatkan sebagai kebakaran hutan paling dahsyat pernah melanda negara itu.
Kebanyakan mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 60 hingga 70 tahun.
Kebakaran yang mula tercetus di daerah Sancheong, tenggara negara itu hampir seminggu lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia secara tidak sengaja.
Pihak berkuasa percaya kebakaran itu tercetus ketika pelawat sedang menguruskan pusara keluarga di kawasan perbukitan manakala rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan terdapat pemetik api yang tertinggal di tanah disamping berpunca daripada percikan api kerja kimpalan serta pembakaran sampah.
Setakat ini, lebih 35,810 hektar kawasan telah musnah dijilat api, iaitu bersamaan separuh keluasan bandar raya New York dan berikutan itu, artifak bersejarah termasuk blok cetakan kayu dan lukisan telah dipindahkan dari beberapa kuil utama.
Pihak berkuasa turut memantau sebarang kemungkinan kerosakan terhadap dua tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu Perkampungan Hahoe dan Byeongsan Seowon di Bandar Andong.
Kuil bersejarah Gounsa yang dibina pada tahun 618 Masihi dan merupakan antara terbesar di wilayah berkenaan hangus sepenuhnya dalam kebakaran manakala sebuah struktur seni bina Buddha yang diiktiraf sebagai khazanah negara dari Dinasti Joseon juga turut musnah.