GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 142,000 penduduk di Semenanjung Gaza hilag tempat tinggal dalam tempoh seminggu susulan serangan bom Israel dan arahan pemindahan yang semakin meningkat.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, serangan berterusan dan arahan pemindahan harian selain sekatan berterusan terhadap kemasukan kargo ke Gaza serta penafian sistematik pergerakan bantuan kemanusiaan di dalam Gaza, memberi kesan buruk kepada lebih dua juta penduduk.
Dujarric memberi amaran semua bekalan di Gaza semakin kehabisan, sambil menegaskan ruang untuk rakyat awam bertahan semakin mengecil apabila arahan pemindahan baru Israel dikeluarkan setiap hari.
“Arahan itu kini meliputi 17 peratus kawasan Gaza, iaitu kira-kira 61 kilometer persegi. Hanya dalam seminggu, 142,000 penduduk sudah dipindahkan, dan angka ini dijangka terus meningkat.
“Dengan setiap gelombang pemindahan, ribuan orang bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, tetapi juga akses kepada keperluan asas seperti makanan, air minuman, dan perubatan,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Pejabat kemanusiaan itu juga melaporkan tentera Israel telah meluaskan kawasan di Gaza menyaksikan pertubuhan bantuan dikehendaki menyelaraskan pergerakan mereka terlebih dahulu.
“Antara 18 hingga 24 Mac, 40 daripada hampir 50 pergerakan bantuan yang diselaraskan ditolak. Itu 82 peratus. Dan hari ini, separuh daripada misi terkoordinasi kami ditolak,” katanya.
Beliau menekankan, apabila akses kemanusiaan dihalang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan yang sudah parah di wilayah tersebut.