Trump tandatangan perintah eksekutif keluarkan AS dari agensi PBB

Trump tandatangan perintah eksekutif keluarkan AS dari agensi PBB

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu lagi perintah eksekutif yang mengarahkan Washington menarik diri daripada beberapa badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC).

Perintah terbaharu yang ditandatangani pada Selasa turut menubuhkan kajian semula yang lebih meluas mengenai pembiayaan AS untuk organisasi pelbagai hala itu.

Perintah eksekutif itu menyatakan bahawa AS menarik diri daripada UNHRC dan agensi utama PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) serta menilai penglibatan dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO).

Tindakan itu dibuat sebagai protes terhadap apa yang disifatkan oleh Setiausaha Kakitangan Rumah Putih, Will Scharf sebagai ‘berat sebelah anti-Amerika’ di agensi PBB.

47 ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB dipilih oleh Perhimpunan Agung untuk tempoh tiga tahun, dengan AS mengakhiri penggal terbaharunya pada 31 Disember.

Kini, AS mempunyai status pemerhati di badan tersebut.

Perintah terbaharu itu dilihat akan menamatkan semua penyertaan AS dalam aktiviti majlis tersebut, termasuk semakan rekod hak asasi manusia negara dan dakwaan khusus mengenai pencabulan hak.

“Secara umumnya, perintah eksekutif menyeru untuk mengkaji semula penglibatan dan pembiayaan Amerika dalam PBB memandangkan perbezaan besar serta tahap pembiayaan yang tidak seimbang antara negara.

“Ia sepatutnya dibiayai oleh semua pihak, tetapi kita menyumbang secara tidak seimbang seperti yang selalu berlaku,” katanya.

Trump sudah lama mengkritik tahap pembiayaan Washington terhadap badan multilateral, menyeru negara lain untuk meningkatkan sumbangan mereka, terutama dalam pakatan ketenteraan NATO.

UNRWA ialah agensi bantuan utama untuk rakyat Palestin, dengan 1.9 juta penduduk hilangan tempat tinggal akibat perang di Gaza bergantung pada penghantarannya untuk terus hidup.

Di bawah pentadbiran Trump, Washington menyokong langkah Israel untuk mengharamkan agensi itu selepas sekutunya menuduh UNRWA menyebarkan bahan kebencian.

Pembiayaan AS kepada UNRWA dihentikan pada Januari 2024 oleh pentadbiran presiden ketika itu, Joe Biden, selepas Israel menuduh 12 kakitangannya terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN