Trump mahu AS 'ambil alih' Gaza

Trump mahu AS ‘ambil alih’ Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengemukakan cadangan luar biasa agar AS ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk rundingan penting mengenai gencatan senjata dengan Hamas.

Trump juga menggandakan gesaannya supaya rakyat Palestin keluar dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain seperti Mesir dan Jordan, walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara itu sebelum ini menolak mentah-mentah cadangan tersebut.

“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami akan melakukan sesuatu dengannya juga. Kami akan memilikinya,” kata Trump pada sidang akhbar bersama Netanyahu.

Trump berkata, AS akan mengeluarkan bom-bom yang belum meletup, meratakan tapak dan mengalihkan bangunan yang musnah, termasuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang akan membekalkan bilangan pekerjaan serta perumahan yang tidak terhad untuk penduduk kawasan itu.

Tetapi Trump sebaliknya kelihatan mencadangkan bahawa bukan rakyat Palestin yang akan kembali ke sana.

“Ia tidak sepatutnya melalui proses pembinaan semula dan pendudukan oleh orang yang sama yang benar-benar berdiri di sana dan memperjuangkannya dan tinggal di sana dan mati di sana serta menjalani kehidupan yang sengsara di sana,” katanya.

Beliau berkata, dua juta penduduk Gaza sebaliknya harus pergi ke negara lain yang berkepentingan dengan peri kemanusiaan.

Netanyahu memuji Trump sebagai ‘rakan terbaik yang Israel pernah ada’.

Beliau berkata, rancangan Trump terhadap Gaza boleh ‘mengubah sejarah’ dan patut diberi perhatian.

Dalam pada itu, Trump turut meramalkan Semenanjung Gaza yang menempatkan lebih dua juta penduduk Palestin itu boleh menjadi ‘Riviera Asia Barat’ apabila beliau mengumumkan rancangan untuk mengawal dan menbangunkannya semula.

“Riviera Asia Barat. Ini akan menjadi sesuatu yang boleh menjadi sangat hebat,” katanya selepas menyebut tentang rancangan membangunkan semula Gaza.

Trump turut berjanji untuk melawat Gaza tanpa menyatakan tarikh lawatan itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN