Tentera Sudan kuasai jambatan utama Khartoum

Tentera Sudan kuasai jambatan utama Khartoum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Tentera Sudan berjaya menawan sebuah jambatan utama yang menghubungkan timur ibu negara Khartoum ke bahagian selatan, beberapa hari selepas ia merampas semula kawalan di bahagian utara daripada kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Ketika konflik Sudan menghampiri tempoh dua tahun, pihak tentera kebelakangan ini telah berjaya menawan kembali sebahagian besar kawasan ibu negara serta kawasan sekitarnya daripada RSF.

Walaubagaimanapun, kumpulan separa tentera itu masih menguasai beberapa lokasi penting, termasuk pasar pusat, istana presiden, serta beberapa kawasan kediaman di bahagian selatan dan barat.

Selain itu, RSF turut menguasai beberapa bahagian di wilayah tengah Kordofan, sebahagian besar wilayah barat Darfur, serta mengepung tentera kerajaan dan sekutunya di bandar el-Fashir, ibu negeri Darfur Utara.

Menurut penduduk dan pasukan perubatan pada Jumaat, RSF telah melancarkan serangan terhadap kem pelarian Zamzam, selatan el-Fashir, yang kini bergelut dengan kebuluran dalam usaha untuk memperkukuh cengkaman mereka di wilayah Darfur.

Sejak konflik bermula pada April 2023, dianggarkan seramai 11.4 juta penduduk dipaksa meninggalkan kediaman mereka dan daripada jumlah itu, tiga juta menjadi pelarian di negara jiran manakala lebih lapan juta lagi terpaksa berlindung dalam ketakutan di dalam negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dalam Persidangan Kemanusiaan Peringkat Tinggi di Addis Ababa pada Jumaat, menyifatkan keadaan di Sudan sebagai bencana berskala besar dan penuh kekejaman.

“Ini adalah krisis yang memerlukan perhatian segera dan berterusan,” katanya sambil menegaskan perlunya menghentikan aliran senjata dan peluru ke negara itu.

Menurut data PBB, hampir 25 juta penduduk kini mengalami kebuluran teruk dan bantuan kemanusiaan hanya boleh disalurkan sekiranya gencatan senjata dapat dicapai.

Guterres turut menggesa pemimpin dunia menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan keamanan dicapai serta meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan menjelang bulan suci Ramadan.

“Kita perlu berbuat lebih banyak dan kita perlu bertindak sekarang untuk menyelamatkan rakyat Sudan daripada mimpi ngeri ini,” tegasnya. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN