GAZA: Lintasan sempadan Rafah akhirnya dibuka buat kali pertama dalam tempoh hampir sembilan bulan, membolehkan pesakit Palestin yang sakit dan cedera mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 50 pesakit bersama 61 penjaga telah dibenarkan menyeberang ke Mesir semalam.
Rakaman televisyen Mesir menunjukkan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin membawa pesakit, termasuk kanak-kanak yang diletakkan di atas pengusung, sebelum dipindahkan ke ambulans Mesir.
Sebahagian besar pesakit yang dibenarkan keluar mengalami penyakit kronik seperti kanser namun sebelum ini gagal mendapatkan rawatan akibat peperangan yang berlarutan selama 15 bulan.
Sebanyak 400 rakyat Palestin akan dibenarkan keluar dari Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel pada 19 Januari lalu.
Pembukaan semula lintasan sempadan tersebut dianggap sebagai kejayaan besar dalam perjanjian itu selepas Israel bersetuju membuka Rafah susulan pembebasan tebusan wanita terakhir oleh Hamas.
Selain itu, lintasan tersebut turut dibuka selepas Hamas membebaskan tiga lagi rakyat Israel sebagai pertukaran dengan lebih 183 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Pengarah hospital di Kementerian Kesihatan Gaza, Mohammed Zaqout berkata, lebih 6,000 pesakit sedang menunggu untuk dievakuasi bagi mendapatkan rawatan, manakala sekurang-kurangnya 12,000 lagi memerlukan rawatan segera.
“Bilangan kecil yang dibenarkan keluar ini masih tidak mencukupi. Kami berharap jumlah itu dapat ditingkatkan,” katanya.
Dalam perang Israel yang berlanjutan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, sektor kesihatan Gaza musnah teruk dengan kebanyakan hospital tidak lagi beroperasi di mana puluhan ribu rakyat Palestin yang cedera akibat serangan udara dan darat Israel mengalami kesukaran mendapatkan rawatan perubatan.
Lintasan Rafah ditutup pada Mei tahun lalu selepas ia dikuasai tentera Israel, sebelum Mesir turut menutup bahagian sempadannya sebagai tanda protes.
Sebelum perang tercetus, lintasan Rafah menjadi laluan penting rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza, termasuk terapi kanser namun, pengurusan lintasan itu terus menjadi isu rumit di mana Israel mendakwa Hamas menyalahgunakan kawalan di lintasan tersebut untuk menyeludup senjata, dakwaan yang dinafikan oleh Mesir. — AGENSI









