GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa pemindahan segera 2,500 kanak-kanak dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Gesaan itu selepas bertemu dengan empat doktor dari Amerika Syarikat (AS) yang memberi amaran kanak-kanak tersebut berisiko tinggi meninggal dunia dalam beberapa minggu akan datang.
Empat doktor terbabit sebelum ini merupakan sukarelawan di Gaza sepanjang perang selama 15 bulan antara Israel dan pejuang Hamas.
Beberapa hari sebelum gencatan senjata bermula pada 19 Januari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 12,000 pesakit sedang menunggu untuk dipindahkan bagi mendapatkan rawatan perubatan dan berharap proses tersebut dipercepatkan.
Pakar Bedah Trauma dari California yang berkhidmat di Gaza dari 25 Mac hingga 8 April 2024, Feroze Sidhwa berkata, jumlah itu termasuk 2,500 kanak-kanak.
“Terdapat kira-kira 2.500 kanak-kanak yang berisiko maut dalam beberapa minggu akan datang. Ada yang meninggal dunia sekarang. Ada yang akan mati esok dan lusa,” kata Sidhwa kepada wartawan selepas bertemu Guterres, kelmarin.
Beliau berkata, daripada 2,500 kanak-kanak itu, majoritinya hanya memerlukan rawatan mudah, sambil merujuk kes budak lelaki tiga tahun yang mengalami luka melecur di lengan.
Sindhwa berkata, meskipun luka tersebut sudah sembuh, tisu parut perlahan-lahan menyekat aliran darah, menyebabkan risiko pemotongan anggota badan.
Sementara itu, doktor kecemasan di Hospital Universiti Stanford yang berkhidmat di Gaza dari akhir November hingga 1 Januari, Ayesha Khan berkata, ramai kanak-kanak di wilayah itu yang mengalami amputasi, tetapi tidak mempunyai prostetik atau akses kepada pemulihan.
“Satu-satunya peluang mereka untuk terus hidup adalah dipindahkan secara perubatan.
“Malangnya, sekatan keselamatan tidak membenarkan kanak-kanak tersebut melakukan perjalanan dengan lebih seorang penjaga,” kata Khan merujuk dua beradik yang mengalami amputasi dan terpaksa berkongsi sebuah kerusi roda.– AGENSI









