Mekah perkenal bas berkuasa hidrogen, promosi tenaga bersih

Mekah perkenal bas berkuasa hidrogen, promosi tenaga bersih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi melancarkan percubaan kedua bas berkuasa sel bahan api hidrogen di Mekah, dalam usaha memperkenalkan teknologi pengangkutan mesra alam.

Langkah itu sejajar dengan matlamat Wawasan 2030 untuk mengurangkan pelepasan karbon dan melindungi alam sekitar.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), ujian tersebut dikendalikan oleh Suruhanjaya Diraja untuk Kota Mekah dan Tapak Suci dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Pihak Berkuasa Am Pengangkutan, Direktorat Am Pertahanan Awam dan Jabatan Am Trafik.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman antara suruhanjaya dan kementerian untuk melaksanakan projek perintis bagi bas hidrogen di laluan yang ditetapkan, lapor SPA.

Tujuan utama projek itu adalah meneroka aplikasi hidrogen dalam sistem pengangkutan, mendapatkan pengalaman teknikal dan komersial serta mengumpul data untuk kemungkinan perluasan pada masa hadapan.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai teknologi hidrogen.

Selain itu, ia diharap dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah dengan menyediakan pengangkutan berasaskan tenaga bersih, sekali gus menyumbang kepada pengalaman lebih selesa ketika berada di Tanah Suci.

Ujian bas hidrogen ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada ‘Projek Bas Mekah’, dengan pelan operasi yang menitikberatkan aspek keselamatan di mana bas akan beroperasi di laluan yang ditetapkan dan disokong oleh stesen pengisian hidrogen mudah alih.

Penilaian terhadap ujian akan merangkumi aspek kecekapan, prestasi, daya tahan operasi, kos serta keselesaan penumpang, bagi memastikan sistem pengangkutan awam di Makkah terus berkembang ke arah perkhidmatan lebih mampan dan mesra alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN