MOSCOW: Serangan dron Ukraine semalam menyasarkan kemudahan bahan api dan tenaga di Russia, menyebabkan kebakaran di wilayah Astrakhan serta memaksa penangguhan penerbangan di beberapa lapangan terbang.
Gabenor wilayah Astrakhan di selatan Russia, Igor Babushkin berkata, angkatan bersenjata Ukraine cuba melakukan serangan dron terhadap objek yang terletak di wilayah itu, termasuk kemudahan bahan api dan tenaga.
“Serangan dron yang jatuh menyebabkan kebakaran. Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.
Babushkin tidak menyatakan dengan jelas apa yang terbakar.
Baza, saluran berita Telegram Russia yang rapat dengan perkhidmatan keselamatan, melaporkan Ukraine menyerang sebuah loji pemprosesan gas berhampiran Astrakhtan.
Pihak berkuasa penerbangan Russia, Rosaviatsia berkata, ia menangguhkan penerbangan dari lapangan terbang di Astrakhan serta empat lagi di lapangan terbang di Kazan, Nizhnekamsk, Saratov dan Ulyanovsk untuk memastikan keselamatan udara.
Sebelum itu, Rosaviatsia menangguhkan sementara penerbangan dari lapangan terbang Volgograd di selatan Russia, sebelum disambung semula tidak lama kemudian, menurutnya di Telegram.
Tiada laporan rasmi mengenai serangan ke atas Volgograd, tetapi Baza dan saluran berita Telegram Russia yang lain melaporkan serangan dron besar-besaran yang didakwa menyasarkan sebuah kilang penapisan minyak.
Sebelum ini, Kyiv menyatakan serangannya di dalam Russia bertujuan untuk memusnahkan infrastruktur tenaga, pengangkutan dan ketenteraan penting dalam usaha perang Moscow.
Presiden Volodymyr Zelensky berkata, serangan itu juga merupakan tindak balas terhadap pengeboman berterusan Russia di Ukraine sejak permulaan pencerobohan berskala penuh Moscow pada Februari 2022.- AGENSI











