Daesh mengaku bertanggungjawab serangan bom bunuh diri di Afghanistan

Daesh mengaku bertanggungjawab serangan bom di Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan bom bunuh diri menyasarkan sebuah kementerian kerajaan di Afghanistan yang mengorbankan seorang individu dan mencederakan lima lagi pada minggu ini.

Insiden keganasan di Afghanistan telah menurun sejak kebangkitan semula Taliban ke tampuk pemerintahan pada tahun 2021, namun kumpulan Daesh sering melancarkan serangan tembakan dan bom yang mencabar pemerintahan tersebut.

Serangan itu berlaku Khamis lalu apabila penyerang cuba memasuki Kementerian Pembangunan Bandar dan Perumahan Afghanistan di Kabul, namun ditembak oleh pengawal keselamatan sebelum meletupkan dirinya, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taliban, Abdul Mateen Qani kepada AFP.

Menurut beliau, seorang telah terbunuh dan tiga lagi cedera, namun Hospital Kecemasan Kabul melaporkan satu maut dan lima cedera, empat daripadanya parah selepas serangan sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan).

Pada Rabu lalu, kumpulan itu turut mengaku bertanggungjawab atas serangan di sebuah bank di utara Afghanistan yang menyebabkan lapan maut, dengan mendakwa sasaran mereka adalah pekerja kerajaan Taliban yang sedang mengutip gaji.

Kerajaan Taliban mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaan utama sejak kembali berkuasa dan penganalisis menyatakan mereka telah mencapai kejayaan dalam menumpaskan Daesh melalui operasi besar-besaran.

Namun, kumpulan tersebut masih aktif dan terus mensasarkan pegawai Taliban, pelawat asing serta diplomat antarabangsa.

Pada bulan Disember, Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan bom bunuh diri yang mengorbankan Menteri Pelarian kerajaan Taliban, Khalil Ur-Rahman Haqqani di pejabatnya di Kabul.

Enam orang awam turut terkorban dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh IS pada 2023 berhampiran kementerian luar kerajaan Taliban yang dikawal ketat.

Laporan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dikeluarkan minggu lalu menyatakan kumpulan Daesh merupakan ancaman paling serius terhadap pihak berkuasa de facto, golongan minoriti etnik dan agama, PBB, warga asing, serta wakil antarabangsa di Afghanistan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×