JAKARTA: Pulau peranginan terkenal, Bali mula melaksanakan larangan penggunaan botol plastik di semua pejabat kerajaan dan sekolah semalam dalam usaha menangani masalah pencemaran yang semakin meruncing.
Langkah itu dibuat susulan jumlah sisa plastik yang dihasilkan Bali mencecah 300,000 tan setahun, dengan lebih separuh daripadanya tidak dikutip termasuk 33,000 tan yang mencemari sistem saliran dan perairan pulau berkenaan.
Setiausaha Wilayah Bali, Dewa Made Indra berkata, dasar baharu itu diharap dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak bagi memastikan kelestarian alam sekitar di pulau berkenaan.
“Kami berharap dasar ini dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak berkaitan demi kelangsungan Bali yang hijau dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, dasar berkenaan turut mewajibkan guru besar dan tenaga pengajar menjadi contoh kepada pelajar dengan menggunakan bekas minuman sendiri bagi mengurangkan sisa plastik daripada pembungkusan makanan dan minuman.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu pencemaran plastik di Bali sering menjadi perhatian dunia, terutama apabila pantai-pantai ikoniknya dipenuhi sampah sarap ketika musim monsun.
Bulan lalu, klip video yang memperlihatkan ‘ombak sampah’ di Pantai Jimbaran tular di media sosial, menjadi antara insiden awal tahun ini yang menonjolkan masalah pencemaran tahunan di pulau berkenaan.
Menurut Ketua Pusat Pemuliharaan Sumber Alam Bali, Ratna Hendratmoko, usaha membendung pencemaran plastik di pulau itu sangat mendesak kerana ia menjadi penanda aras utama sektor pelancongan Indonesia.
“Bali adalah penanda aras pelancongan di Indonesia, justeru kita perlu menunjukkan komitmen negara dalam menangani isu pengurusan sisa plastik,” katanya.
Bali yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta budaya tradisionalnya, menarik lebih 6.3 juta pelancong asing sepanjang tahun 2024, merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan ketibaan pelancong antarabangsa ke Indonesia. -AGENSI










