WASHINGTON: Pasukan penyelamat berjaya menemukan semua 67 mayat mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat penumpang dengan helikopter tentera Amerika Syarikat (AS), yang bertembung berhampiran Washington sebelum terjunam ke Sungai Potomac.
Setakat ini, hanya satu mayat yang belum dikenal pasti, menurut kenyataan daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam usaha pemulihan selepas nahas udara paling maut di AS dalam tempoh 20 tahun.
Kenyataan itu menyifatkan penemuan semua mayat terbabit sebagai ‘langkah penting’ dalam usaha meredakan kesedihan keluarga mangsa tragedi minggu lalu.
“Hati kami bersama keluarga mangsa ketika mereka menghadapi kehilangan yang tragis.
“Kami mengucapkan takziah dan akan terus menyokong mereka dalam masa sukar ini,” kata kenyataan itu.
Pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan serpihan pesawat penumpang – Bombardier CRJ-700 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan American Eagle – dari Sungai Potomac.
Setakat ini, mereka menemukan bahagian seperti sayap kanan dan kiri, bahagian tengah fiuslaj, kon ekor serta kemudi, kata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara.
Kerja-kerja mengangkat bangkai helikopter akan dimulakan selepas proses pemulihan pesawat selesai, kata agensi bandar.
Dalam nahas minggu lalu, seramai 60 penumpang dan empat anak kapal pesawat terbunuh, bersama tiga askar yang menaiki helikopter Black Hawk Tentera AS.
Pesawat itu sedang dalam penerbangan dari Wichita, Kansas, ke Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan di Washington ketika pelanggaran berlaku.
Presiden AS, Donald Trump menyalahkan dasar pengambilan pekerja berasaskan kepelbagaian sebagai punca nahas, walaupun tiada bukti menunjukkan kaitan antara polisi tersebut dengan insiden berkenaan.
Trump turut mendakwa helikopter yang sedang menjalankan misi latihan rutin itu mungkin terbang terlalu tinggi.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dijangka mengeluarkan laporan awal dalam tempoh 30 hari, namun siasatan penuh mungkin mengambil masa setahun.– AFP










