BEIJING: Sebuah penerbangan sewaan membawa pulang 200 suspek penipuan telekomunikasi warga China yang ditahan di Myanmar dilaporkan mendarat di Nanjing, di wilayah Jiangsu semalam.
Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, ini menandakan pencapaian penting dalam usaha penguatkuasaan undang-undang multinasional antara China, Thailand, dan Myanmar bagi membanteras penipuan telekomunikasi dan siber.
Global Times melaporkan, operasi kali ini mendapat sokongan paling kuat daripada kerajaan China, Thailand dan Myanmar sejak tindakan penguatkuasaan bersama terhadap penipuan telekomunikasi dan siber di kawasan sempadan Thailand-Myanmar diperketatkan.
Kementerian Keselamatan Awam berkata, usaha itu mencerminkan tekad kukuh ketiga-tiga negara untuk bersama-sama memerangi jenayah rentas sempadan seperti penipuan telekomunikasi dan siber serta secara kolektif menjaga keselamatan dan kestabilan serantau.
“Dalam fasa seterusnya, mekanisme tiga hala antara China, Myanmar, dan Thailand untuk memerangi jenayah siber rentas sempadan akan beroperasi secara berkala.
“Usaha akan dipertingkatkan untuk menyelamatkan individu yang terperangkap, menangkap sindiket penipuan telekomunikasi, membongkar struktur teras mereka, dan secara tegas menghapuskan pusat-pusat penipuan telekomunikasi di Myawaddy,” kata Inspektor Jabatan Siasatan Jenayah Kementerian Keselamatan Awam, Liu Ningning, dalam satu wawancara dengan media di Thailand.
Tambah Ningning, pihak berkuasa keselamatan awam juga akan memperdalam kerjasama praktikal dengan lebih banyak negara, bagi membanteras jenayah siber rentas sempadan mengikut undang-undang dan secara efektif melindungi hak serta kepentingan sah warganegara China.











