GAZA: Pasukan perubatan Palestin menemukan sembilan lagi mayat di bawah runtuhan di Gaza, menjadikan jumlah kematian akibat perang genosid Israel terhadap wilayah itu meningkat kepada 47,498 orang.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataan semalam berkata, empat orang cedera dimasukkan ke hospital dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera kepada 111,592 orang akibat serangan Israel.
“Banyak mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak mencapainya,” kata kementerian itu.
Pejabat media kerajaan Gaza pula melaporkan, sekurang-kurangnya 61,709 orang terbunuh dalam serangan Israel, termasuk 14,222 yang masih hilang di bawah runtuhan.
Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari, menghentikan perang yang menyebabkan kemusnahan besar dan memusnahkan wilayah itu.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya ke atas wilayah itu.- AGENSI











