KYIV: Dominasi bekalan gas Russia ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengalir selama beberapa dekad melalui Ukraine berakhir apabila perjanjian lima tahun antara pengendali transit Naftogaz dan Gazprom tamat semalam.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, negaranya tidak akan membenarkan Russia mendapat berbilion-bilion dana tambahan daripada darah rakyatnya dan sudah memberi EU tempoh setahun untuk membuat persediaan.
CARI ALTERNATIF
Suruhanjaya Eropah berkata, sistem gas benua itu berdaya tahan dan fleksibel malah mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menghadapi penamatan transit melalui Ukraine.
Russia bagaimanapun masih boleh menghantar gas ke Hungary, serta Turkiye dan Serbia, melalui saluran paip TurkStream merentasi Laut Hitam.
EU berusaha mengurangkan import gas dari Russia dengan ketara sejak ia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada 2022.
Blok itu menemui sumber alternatif dalam gas asli cecair (LNG) dari Qatar dan AS serta gas berpaip dari Norway.
Tetapi beberapa negara anggota timur masih bergantung pada bekalan tersebut yang membantu Russia menjana kira-kira AS$5.2 billion (RM23.25 bilion) setahun.
Menurut angka dari blok itu, Russia membentuk kurang daripada 10 peratus daripada import gas EU pada 2023 berbanding 40 peratus pada 2021.
Tetapi beberapa ahli EU, termasuk Slovakia dan Austria, terus mengimport sejumlah besar gas dari Russia.
Pengawal selia tenaga Austria berkata, ia tidak meramalkan sebarang gangguan bekalan kerana telah mempelbagaikan sumber dan membina rizab.
CETUS KETEGANGAN
Tetapi keputusan Ukraine menyebabkan ketegangan yang serius dengan Slovakia, yang kini menjadi pintu masuk utama gas Russia ke EU dan memperoleh bayaran transit menyalurkan gas ke Austria, Hungary dan Itali.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico yang baru sahaja membuat lawatan mengejut ke Moscow untuk perbincangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin mengancam untuk menghentikan bekalan elektrik ke Ukraine.
Tindakan itu mendorong Zelensky menuduh beliau membantu Putin membiayai perang dan melemahkan Ukraine.
“Fico sedang mengheret Slovakia ke dalam percubaan Russia untuk mencetus lebih banyak penderitaan kepada rakyat Ukraine,” katanya.
Poland dilapor menawarkan untuk menyokong Kyiv sekiranya Slovakia menghentikan eksport elektriknya yang merupakan bekalan penting kepada Ukraine selepas loji kuasanya sering diserang dari Russia.
Moldova yang bukan sebahagian daripada EU juga turut terjejas teruk dengan berakhirnya perjanjian transit tersebut.
Gas itu memacu loji janakuasa di mana Moldova bergantung pada kebanyakan keperluan elektriknya.
Ia juga membekalkan tenaga kepada wilayah Transnistria yang disokong Russia, kawasan kecil tanah yang diapit antara Moldova dan Ukraine.
Menteri Tenaga Moldova, Constantin Borosan berkata, kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan bekalan kuasa stabil ke negara itu tetapi menyeru rakyat untuk menjimatkan tenaga.
Ketidaktentuan itu turut mencetus darurat kecemasan selama 60 hari dalam sektor tenaga yang dilaksanakan di Moldova sejak pertengahan Disember.
Sabtu lalu, syarikat gas Gazprom milik Russia mengumumkan akan menghentikan penghantaran gas kerana pertikaian mengenai hutang, mencetuskan tuduhan berang mengenai ‘taktik menindas’ daripada Presiden Moldova, Maia Sandu.
“Kremlin sekali lagi menggunakan pemerasan tenaga untuk mempengaruhi pilihan raya Parlimen 2025 dan menjejaskan laluan Eropah kita,” kata Sandu.
Di ibu kota Chisinau, di mana kebanyakan paparan lampu perayaan akan dipadamkan, sesetengah penduduk menyuarakan ketakutan mereka terhadap apa yang akan berlaku seterusnya.
“Ia amat mengerikan, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku. Saya telah membeli beberapa lilin dan penjana sebagai persediaan,” kata Cristina, seorang pelajar berusia 21 tahun kepada AFP.
Kerajaan Moldova bertindak balas dengan langkah drastik untuk mengehadkan penggunaan tenaga, terutamanya had pencahayaan di bangunan awam dan penggunaan lif.
Ia juga berhasrat untuk menampung kekurangan itu dengan membeli elektrik dari negara jiran Romania.










