LONDON: Lapangan Terbang Manchester, John Lennon Liverpool dan Birmingham terpaksa menutup landasan berikutan salji tebal semalaman dan berusaha untuk membetulkan gangguan secepat mungkin.
Suhu turun kepada -11 darjah Celsius semalaman di Loch Glascarnoch, Scotland manakala sebahagian besar kawasan di UK mengalami gangguan bekalan elektrik selepas dilanda salji tebal.
Lebuhraya Nasional berkata, amaran cuaca buruk turut dikeluarkan selepas salji setinggi 25 sentimeter (cm) dijangka melitupi jalan raya di bahagian utara England.
Dua amaran untuk salji tebal dan ais kekal di beberapa bahagian di England, Scotland dan Wales, mencetus kelewatan perjalanan dan bekalan elektrik berkemungkinan terputus.
Selain salji, Lebuhraya Nasional memberi amaran hujan yan dikhuatiri turun di atas tanah beku dan mencetus dataran ais, dengan kawasan tanah tinggi, termasuk Cotswolds dan Daerah Puncak, paling berisiko.-AGENSI











