HALLE: Puluhan ribu rakyat Jerman mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menolak pengaruh politik berhaluan kanan menjelang pilihan raya legislatif bulan depan.
Protes itu berlaku di tengah-tengah sokongan terbuka Jutawan teknologi Amerika Syarikat (AS), Elon Musk terhadap parti anti-imigran, Alternatif untuk Jerman (AfD).
Musk yang berucap melalui pautan video kepada ribuan penyokong AfD di bandar Halle, Jerman berkata, parti itu sebagai ‘harapan terbaik untuk masa depan Jerman’.
Penyokong AfD yang hadir bersorak tanda setuju, dengan pemimpin parti itu, Alice Weidel, dilihat tersenyum semasa ucapan tersebut.
Sementara itu, demonstrasi besar-besaran menentang AfD berlangsung di beberapa bandar di seluruh Jerman di mana perhimpunan terbesar diadakan di Berlin dan Cologne, masing-masing dengan kehadiran kira-kira 35,000 dan 20,000 penunjuk perasaan, menurut pihak polis.
Penunjuk perasaan di Berlin menggunakan telefon bimbit mereka untuk membentuk ‘lautan cahaya demokrasi’ di hadapan Brandenburg Gate sambil mempamerkan huruf membentuk perkataan ‘Resistance’ yang bermaksud penentangan.
Parti AfD kini meraih sokongan sekitar 20 peratus dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya pada 23 Februari, rekod tertinggi bagi sebuah parti yang telah memecahkan tradisi politik Jerman pasca-perang dengan menyokong ideologi berhaluan kanan.
Seperti Trump, AfD menentang kebanjiran pendatang, menafikan perubahan iklim, menolak politik gender dan menyasarkan institusi politik serta media arus perdana yang didakwa menyekat kebebasan bersuara.
Demonstrasi anti-AfD diadakan di lebih 60 bandar selepas seruan pelbagai organisasi, dengan kehadiran lebih ramai daripada jangkaan awal pihak polis.
Perhimpunan itu berlangsung secara aman dengan sepanduk seperti ‘Nazi keluar’ dan ‘AfD bukan alternatif’, merujuk kepada nama penuh parti tersebut.
Dalam pada itu, sebuah perhimpunan diadakan di bandar Aschaffenburg, selatan Jerman, susulan insiden serangan pisau maut minggu ini yang melibatkan seorang migran Afghanistan, sekali gus menambah ketegangan perdebatan isu pendatang asing. -AGENSI










