BEIJING: Penyakit pernafasan semakin meningkat di China dan terdapat aduan tentang hospital yang sesak berikutan penyebaran virus metapneumovirus manusia (HMPV), yang dilaporkan turut menular di beberapa negara Asia lain.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDCP) mengesahkan HPMV merebak ke seluruh wilayah utara negara itu yang kini menjadi lokasi paling teruk terjejas oleh virus itu.
HPMV boleh menjangkiti semua peringkat umur dan paling kerap menyerang kanak-kanak, sekali gus meningkatkan kebimbangan kesihatan awam.
Walaupun laporan media sosial menggambarkan situasi kritikal, pegawai China mahupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengisytiharkan darurat pada peringkat ini.
Penularan wabak tersebut meningkatkan kesedaran tentang keperluan untuk langkah pencegahan, terutamanya kerana tiada vaksin khas untuk HMPV walaupun virus itu sudah dikesan sejak hampir dua dekad lalu.
Pakar kesihatan menggesa agar orag ramai berwaspada dan mematuhi garis panduan kesihatan awam untuk mengehadkan penyebaran virus tersebut.
Rakyat dinasihatkan oleh pihak berkuasa untuk kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka serta mengikuti langkah berjaga-jaga lain.
Pihak berkuasa di seluruh Asia kini turut memantau dengan teliti wabak selesema dan virus pernafasan yang merebak di China itu.
Kawasan sekitar China sedang melaksanakan langkah pemantauan yang ketat termasuk Hong Kong dan Jepun yang turut melaporkan kes jangkitan virus tersebut.-AGENSI










