Mayat wanita muda dikerat, dicampak di tiga lokasi berbeza

Mayat wanita muda dikerat, dicampak di tiga lokasi berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BLITAR: Kes pembunuhan kejam melibatkan seorang wanita muda, Uswatun Khasanah, 30, dari kampung Bance, Blitar, Jawa Timur terus menggemparkan masyarakat apabila anggota badan mangsa ditemukan di tiga lokasi berlainan.

Uswatun, seorang janda yang mempunyai dua anak, dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan ngeri apabila mayatnya dicacatkan dan dimasukkan ke dalam sebuah beg pakaian sebelum ditemui di Ngawi pada minggu lepas.

Ibu kandung mangsa yang tidak dapat menahan sebak hanya mampu berserah kepada pihak polis untuk mengendalikan kes tersebut.

“Saya tidak tahu mahu berkata apa, saya hanya pasrah. Saya percaya karma itu ada,” ujar beliau.

Potongan kepala mangsa ditemukan di bawah sebuah jambatan kecil di Trenggalek pada pagi Ahad, manakala potongan kakinya pula dijumpai di Ponorogo.

Ketua Siasatan Polis Trenggalek, AKP Eko Widiantoro mengesahkan, penemuan kepala mangsa yang dibungkus dalam plastik berwarna putih selepas pencarian dilakukan bersama pasukan khas dari Polis Daerah Jawa Timur.

“Lokasi penemuan kepala mangsa adalah berhampiran jalan utama. Selepas ditemukan, kepala tersebut telah dihantar ke hospital untuk proses forensik dan autopsi,” jelas Eko.

Sementara itu Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Jawa Timur, Farman berkata, pihaknya berjaya menahan suspek pada malam Sabtu sekitar pukul 12 tengah malam.

Pihak polis kini dalam usaha memastikan kesemua potongan tubuh mangsa ditemukan dan sedang menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan kesepadanan anggota badan tersebut dengan jasad mangsa yang telah dikebumikan pada Jumaat lalu.

Kes ini menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat dan mencetuskan persoalan mengenai keselamatan wanita di negara itu.

Pihak berkuasa turut menyeru kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

Kejadian ini diharapkan menjadi pengajaran kepada semua dan pihak polis berjanji akan membawa pelaku ke muka pengadilan dengan hukuman setimpal. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN