JAKARTA: Sekitar 100 penunjuk perasaan Indonesia bertindak melempar telur ke arah bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes terhadap kes tembakan membabitkan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting minggu lalu.
Menurut Kompas TV, penunjuk perasaan daripada pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan pekerja berhimpun di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta semalam dan membaling telur ke arah simbol kebangsaan Malaysia di pintu masuk kedutaan.
Kumpulan itu turut membawa sepanduk dengan slogan berbaur provokasi seperti ‘Ganyang Malaysia’ dan ‘Tangkap dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja migran Indonesia’.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, seorang pekerja asing berusia 50 tahun maut dan empat lagi cedera selepas Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tembakan ke atas bot mereka kerana didakwa menceroboh perairan Pantai Tanjung Rhu di Selangor.
Pihak berkuasa Indonesia di wilayah Riau pada Rabu menerima mayat lelaki itu.
Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan berkata, kejadian tembakan maut itu berlaku ketika lima warga Indonesia itu cuba meninggalkan Malaysia secara haram.
Kementerian itu turut menuntut siasatan menyeluruh, khususnya mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan.
Menurut laporan kejadian, dua suspek warga asing yang berada di atas bot, didakwa cuba menyerang pegawai APMM selepas merempuh bot pegawai berkenaan dan tembakan dilepaskan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri.
Semasa lawatan ke Malaysia baru-baru ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan isu-isu yang menyelubungi pekerja asing.
“Kami akan menyelesaikan isu dua hala kami, termasuk yang berkaitan dengan pekerjaan.
“Kami telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam semua sektor,” kata Prabowo dalam satu kenyataan bersama dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa lawatan pada Isnin, tiga hari selepas kejadian tembakan itu.