Cubaan tangkap Presiden Korea Selatan gagal

Cubaan tangkap Presiden Korea Selatan gagal

ANGGOTA polis mengawal penyokong Suk Yeol yang berkumpul berhampiran kediamannya di Seoul, Korea Selatan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pasukan penyiasat Korea Selatan menangguhkan percubaan untuk menangkap Presiden yang digantung tugas, Yoon Suk Yeol selepas berlaku konfrontasi dramatik selama enam jam dengan pasukan keselamatan di luar kediamannya.

Pejabat Siasatan Rasuah (CIO) berkata, kira-kira 80 anggota polis dan penyiasat memasuki pekarangan kediaman Suk Yeol di Seoul awal pagi semalam namun disekat lebih 200 pasukan keselamatan yang melindungi presiden itu.

“Kami telah menentukan bahawa penangkapan itu hampir mustahil. Kebimbangan terhadap keselamatan kakitangan di lokasi menyebabkan keputusan untuk menghentikan cubaan penangkapan terpaksa dibuat.

“Langkah seterusnya akan diputuskan selepas semakan dilakukan. Penolakan Suk Yeol terhadap proses undang-undang adalah amat dikesali,” jelas badan itu dalam satu kenyataan.

Penyokong Suk Yeol yang berkhemah di hadapan kediaman presiden itu selama beberapa hari, bersorak sambil menari dan melaungkan ‘Kami menang’ ketika penggantungan penahanan itu diumumkan.

Mahkamah Seoul mengeluarkan waran tangkap awal minggu ini selepas Suk Yeol mengabaikan tiga arahan untuk menghadiri sesi soal siasat berhubung tindakannya mengenakan dekri undang-undang tentera yang berjaya digagalkan ahli Parlimen tahun lalu.

Suk Yeol yang digantung tugas oleh penggubal undang-undang, bakal menjadi presiden pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditangkap jika waran itu dilaksanakan.

Waran tangkap yang sah sehingga 6 Januari itu kekal berkuat kuasa dan boleh dilanjutkan.

Pasukan undang-undang Suk Yeol berkata, polis tidak mempunyai hak untuk melaksanakan waran tangkap di kemudahan perlindungan rahsia tentera kelas pertama, merujuk kepada kediaman presiden.

“Kami menyatakan kekesalan yang mendalam mengenai pelaksanaan tangkapan dan waran geledah yang menyalahi undang-undang dan tidak sah ini.

“Saya mengeluarkan amaran keras dan menggesa sekeras-kerasnya CIO untuk mematuhi undang-undang,” kata peguam presiden, Yoon Kab Keun dalam satu kenyataan.

Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan dilaporkan akan mengadakan perbicaraan berhubung pemecatan dan pendakwaan terhadap Suk Yeol pada 14 dan 16 Januari ini.

Suk Yeol dikehendaki hadir untuk hujah pertama pada 14 Januari dan mahkamah merancang sesi kedua pada 16 Januari sekiranya beliau enggan hadir pada sesi pertama.

Menurut Yonhap, unit siasatan bersama Korea Selatan turut memulakan siasatan terhadap Ketua Perkhidmatan Keselamatan Presiden, Park Jong Jun atas tuduhan menghalang keadilan berikutan kegagalan CIO menahan Suk Yeol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN