MAMUJU: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Mamuju, Sulawesi Barat dilanda banjir serta tanah runtuh, mengakibatkan empat orang terkorban dan beberapa lagi cedera.
Antara kawasan yang terjejas akibat banjir ialah Jalan Sultan Hasanuddin, Jalan Husni Thamrin, serta kawasan sekitar Desa Bambu Mamuju.
Penduduk melaporkan kediaman mereka mula ditenggelami air sejak malam Ahad.
“Kami mohon Agensi Pengurusan Bencana Serantau (BPBD) Mamuju segera turun membantu. Air semakin naik, rumah sudah mula tenggelam,” kata salah seorang penduduk yang terjejas.
Selain banjir, hujan lebat turut menyebabkan kejadian tanah runtuh di Tapodede, Mamunyu, pada malam Ahad lalu.
Dua buah rumah ditimpa runtuhan tanah, mengakibatkan empat nyawa terkorban, termasuk seorang bayi berusia sebulan manakala terdapat beberapa mangsa lain mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Proses menyelamat dan pemindahan mangsa berdepan kesukaran akibat jalan yang ditutup oleh runtuhan tanah dan pokok tumbang hingga menyebabkan pasukan penyelamat dan penduduk terpaksa menggunakan pengusung untuk membawa mangsa ke ambulans.
Sementara itu, Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Serantau (BPBD) Sulawesi Barat, Yassir Fattah memaklumkan, pihaknya bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
“Kami masih menunggu laporan rasmi daripada BPBD Kabupaten Mamuju kerana mereka kini sibuk di lapangan. Peralatan seperti perahu dan peralatan lain telah kami sediakan,” ujar Yassir.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar kekal berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan keluarga.
Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan keadaan tanah di kawasan itu semakin tidak stabil, meningkatkan risiko tanah runtuh susulan manakala pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan terjejas agar segera berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Fenomena cuaca buruk yang melanda Indonesia sejak kebelakangan ini turut mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di wilayah lain di mana pada minggu lalu, kejadian di Pekalongan, Jawa Tengah, menyebabkan 25 orang terkorban manakala 14 lagi cedera.
Kerajaan Indonesia digesa meningkatkan langkah mitigasi bencana bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjamin. -AGENSI









