WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamatkan sekatan yang dikenakan terhadap penghantaran bom seberat 907 kilogram (kg) kepada Israel.
Sebelum ini, bekas Presiden AS, Joe Biden mengenakan sekatan penghantaran bom itu, bertujuan untuk mengurangkan korban awam semasa perang Israel dengan Hamas di Gaza.
Dalam hantaran di rangkaian Social Truth kelmarin, Trump mendakwa sedang menguruskan semua bekalan senjata yang dipesan oleh Israel,
“Banyak perkara yang dipesan dan dibayar Israel, tidak dihantar oleh Biden, kini dalam perjalanan!,” katanya.
Seorang pegawai pentadbiran Trump turut mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada bom 907 kg tersebut.
Sementara itu, Axios melaporkan, sebanyak 1,800 unit bom MK-84 akan dimuatkan ke dalam sebuah kapal dan dihantar ke Israel dalam beberapa hari akan datang.
Biden menghentikan penghantaran bom itu pada Mei sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang Israel daripada melancarkan serangan besar-besaran terhadap bandar Rafah di selatan Gaza.
Sebulan kemudian, Israel menguasai bandar itu, tetapi selepas sebahagian besar daripada sejuta orang awam yang tinggal dan berlindung di Rafah melarikan diri.
Keputusan Biden ketika itu turut melibatkan penangguhan penghantaran 1,700 bom seberat 226 kg yang dibungkus dalam penghantaran sama ke Israel, namun beberapa minggu kemudian ia kembali dihantar.
Tindakan Trump, lima hari selepas memulakan tugas, berlaku seiring dengan fasa pertama gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang menghentikan pertempuran serta menyaksikan pembebasan tebusan dan pertukaran ratusan tahanan Palestin.
Dalam pada itu, Trump turut merancang untuk ‘membersihkan’ Gaza dengan memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan–AFP










