BANGKOK: Seramai 39 pelancong China disahkan positif dadah dalam serbuan yang dijalankan terhadap sebuah kelab malam di Walking Street Pattaya, di Thailand, awal pagi semalam.
Serbuan terhadap Kelab Panda dijalankan secara bersama oleh lebih 100 anggota polis dan pegawai Jabatan Pentadbiran Wilayah di daerah Bang Lamung.
Timbalan Gabenor Chonburi, Chaiyaporn Paepiromrat mengarahkan serbuan itu bagi menyiasat kemungkinan aktiviti haram selepas menerima laporan seorang pelancong China cedera parah di kelab tersebut pada 27 Disember lalu.
Semasa serbuan, pegawai penguat kuasa mendapati sekitar 300 pelancong Thailand dan asing, dengan kebanyakan daripadanya berasal dari China.
Pengunjung kelab dipisahkan kepada dua kumpulan lelaki dan wanita semasa pegawai memeriksa pengenalan diri dan melakukan ujian air kencing.
Hasil ujian mendapati 19 lelaki dan 20 wanita warga China positif dadah, namun tiada dadah ditemukan dalam kelab tersebut.
Kesemua 39 pelancong tersebut kemudian dibawa ke Balai Polis Pattaya untuk tindakan undang-undang, manakala selebihnya dibebaskan.
Tiada tuduhan dikenakan terhadap pengurusan kelab malam tersebut.- AGENSI










