NAYPYIDAW: Sebuah kumpulan bersenjata etnik Myanmar menawan wilayah utama di sepanjang sempadan Bangladesh, meningkatkan tekanan ke atas junta yang bertempur dengan pemberontak di seluruh negara.
Pertempuran menggegarkan negeri barat Rakhine barat sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November tahun lalu, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa junta 2021.
Pejuang AA telah merampas sebahagian besar wilayah di negeri itu yang menempatkan projek pelabuhan disokong China dan India serta semua kawasan sekitarnya kecuali ibu negeri Sittwe.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh AA memaklumkan kumpulan itu berjaya mengawal sepenuhnya seluruh wilayah Maungdaw, sebuah daerah yang menempatkan lebih 110,000 orang sejak Ahad.
“Pangkalan terakhir junta berhampiran bandar Maungdaw tumbang awal Ahad selepas hampir dua bulan pertempuran,” katanya, sambil menambah AA telah menahan beberapa askar junta termasuk komander pangkalan itu.
Video yang dikeluarkan oleh kumpulan itu menunjukkan beberapa lelaki dipecayai pasukan keselamatan Myanmar yang menyerah diri berjalan keluar dari bangunan yang rosak, memegang bendera putih dan kepingan putih styrofoam.
Pekan Maungdaw terletak di sungai Naf yang memisahkan Myanmar dari Bangladesh dan merupakan tempat tinggal kepada ramai ahli minoriti Rohingya yang teraniaya.
Junta masih belum menjawab permintaan media untuk mengulas mengenai pertempuran di Maungdaw.
Pada Mei, AA berkata, angotanya telah merampas bandar Buthidaung yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Maungdaw.
Beberapa kumpulan diaspora Rohingya kemudiannya menuduh AA memaksa penduduk melarikan diri dan kemudian merompak dan membakar rumah mereka.
Bulan lalu PBB memberi amaran bahawa negeri Rakhine sedang menuju ke arah kebuluran kerana pertempuran berterusan menghimpit perdagangan dan pengeluaran pertanian.
“Ekonomi Rakhine telah berhenti berfungsi,” kata laporan dari Program Pembangunan PBB, mengunjurkan keadaan kebuluran menjelang pertengahan 2025 jika tahap ketidakamanan makanan semasa tidak ditangani.-AFP










