MOSCOW: Kementerian Luar Russia memindahkan beberapa kakitangan diplomatiknya dari Syria, seminggu selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad.
Kementerian berkata, penarikan sebahagian daripada anggota perwakilan Russia di Damsyik dilakukan oleh penerbangan khas Tentera Udara Russia dari pangkalan udara Hmeimim di Syria.
Katanya, penerbangan itu tiba di lapangan terbang berhampiran Moscow, tanpa menyatakan jumlah penumpang.
Penerbangan itu turut membawa anggota dari misi diplomatik Belarus, Korea Utara dan Abkhazia, wilayah pemisah Georgia yang disokong Moscow, kata jabatan situasi krisis kementerian di Telegram semalam.
“Kedutaan Russia di Damsyik terus berfungsi,” kata siaran akhbar yang diterbitkan di Telegram.
Selepas serangan selama 11 hari, pakatan pejuang yang dikuasai Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) menggulingkan Assad, yang melarikan diri ke Russia bersama keluarganya.
Kejatuhan Assad merupakan satu kemunduran besar bagi Moscow, yang bersama Iran sebagai sekutu utama bekas Presiden Syria itu dan campur tangan secara ketenteraan di Syria sejak 2015.
Nasib dua pangkalan tentera Russia di Syria – pangkalan tentera laut Tartus dan lapangan terbang Hmeimim – kini tidak diketahui.
Kedua-dua tapak itu adalah penting untuk Russia dalam mengekalkan pengaruhnya di Asia Barat, di lembangan Mediterranean dan sejauh Afrika.- AFP











