Rancangan China bina kedutaan baharu di London ditolak pegawai tempatan

Rancangan China bina kedutaan baharu di London ditolak pegawai tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Rancangan China untuk membina kedutaan baharu yang besar di London ditolak pegawai tempatan atas alasan boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk berhampiran.

Kerajaan China membeli Royal Mint Court, tapak bersejarah berhampiran Menara London enam tahun lalu, tetapi setakat ini gagal mendapat kebenaran untuk membina kedutaan baharu di sana.

China berharap untuk membina kedutaan seluas kira-kira 213,360 meter persegi, yang akan menjadi misi terbesar China di Eropah dan hampir dua kali ganda saiznya di Washington.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerajaan pusat berkata, pada Oktober ia akan membuat keputusan muktamad sama ada untuk meluluskan permohonan tersebut, tetapi pandangan penduduk tempatan dan majlis akan dipertimbangkan dalam siasatan perancangan awal tahun depan.

Ahli politik di daerah Tower Hamlets sebulat suara menentang rancangan itu walaupun keputusan muktamad sama ada untuk meluluskan permohonan bangunan itu terletak pada kerajaan pusat.

Pegawai China berulang kali menyatakan kekecewaan kepada kerajaan Britain atas kegagalannya untuk membantu mendapatkan kebenaran rancangan itu pada mesyuarat peringkat rasmi, sekali gus merumitkan usaha untuk memperbaiki hubungan dua negara yang sedia tegang itu.

Siasatan untuk memutuskan kelulusan pembinaan kedutaan itu dijangka berlangsung selama lapan hari tahun depan dengan keputusan dibuat selewat-lewatnya pada Mei.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata bulan lalu bahawa beliau telah meminta menteri untuk meneliti rancangan yang dikemukakan oleh China selepas Presiden, Xi Jinping membangkitkan perkara itu kepadanya.

Kerajaan Buruh, yang memegang jawatan sejak Julai, membina hubungan lebih baik dengan China sebagai salah satu matlamat dasar luar utamanya.

Tempoh di bawah kerajaan Konservatif menyaksikan hubungan kedua-dua negara menjunam ke tahap terendah dalam beberapa dekad.

Di bawah Starmer, kerajaan telah menjalankan pendekatan yang lebih mesra dengan harapan  peningkatan dalam hubungan boleh menghasilkan beberapa faedah ekonomi.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN