AMMAN: Pemberontak Syria dilaporkan menawan bandar Hama dalam siri serangan kilat selama seminggu merentasi utara Syria, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Presiden, Bashar al-Assad dan sekutunya dari Russia dan Iran.
Pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Abu Mohammed al-Jawlani, mengisytiharkan kemenangan di Hama namun berikrar tidak akan membalas dendam kepada pasukan tentera kerajaan.
Terdahulu, pejuang HTS dan sekutu mereka mengambil alih penjara pusat Hama dan membebaskan banduan di tengah-tengah pertempuran sengit, selepas tentera kerajaan menempatkan semula pasukannya di kawasan luar bandar.
Hama dihuni lebih sejuta penduduk dan terletak kira-kira 110 kilometer (km) di selatan Aleppo yang ditawan pemberontak minggu lalu selepas kumpulan itu melancarkan serangan mengejut dari kubu kuat mereka di barat laut.
Tindakan merampas Hama memberikan kumpulan pemberontak kawalan ke atas bandar pusat strategik yang tidak pernah berjaya direbut sebelum ini.
Rakaman disiarkan di televisen menunjukkan kumpulan pemberontak berarak melalui Hama diiringi bunyi tembakan.
Satu rakaman lain turut menunjukkan tahanan keluar dari penjara bandar itu selepas pemberontak membebaskan mereka.
Pemberontak berkata, mereka bersedia untuk berarak ke selatan menuju Homs, sebuah bandar persimpangan yang menghubungkan ibu kota Damsyik ke utara dan kawasan pantai.
“Masa anda telah tiba,” kata sebuah bilik gerakan pemberontak menerusi siaran dalam talian yang menyeru penduduk Homs untuk bangkit menyertai revolusi.
Televisyen Al Jazeera menyiarkan imej pemberontak di sekitar Hama, dengan sebahagian daripada mereka dilihat menyapa orang awam berhampiran manakala yang lain memandu dengan kenderaan tentera dan moped.
Kejatuhan kawalan kerajaan Syria di utara secara mengejut menggambarkan peralihan imbangan kuasa sejak kumpulan Hezbollah Lubnan yang menjadi ketua pasukan medan perang Assad mengalami kerugian besar dalam peperangannya dengan Israel.
Assad sangat bergantung pada sokongan Russia dan Iran semasa tahun-tahun paling sengit konflik, membantunya merampas kembali kebanyakan wilayah dan bandar terbesar Syria sebelum barisan hadapan terhenti pada 2020.
Tetapi sokongan itu merudum selepas Russia beralih tumpuan kepada perang di Ukraine sejak 2022 dan ramai anggota kepimpinan tertinggi Hezbollah dibunuh oleh Israel sepanjang dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Pemimpin baharu Hezbollah, Naim Qassem dalam siaran televisyen kelmarin berjanji akan berdiri teguh di sisi Syria ketika ramai tentera kerajaan berundur dari bandar-bandar utama negara itu.-REUTERS











