WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengeluarkan pengampunan rasmi kepada anaknya, Hunter menjelang pelaksanaan hukuman terhadap dua kes jenayah beliau.
Biden sebelum ini pernah memberi jaminan tidak akan campur tangan dalam masalah perundangan melibatkan anaknya itu.
“Hari ini, saya menandatangani pengampunan untuk anak saya, Hunter.
“Sejak hari saya memegang jawatan, saya berkata tidak akan campur tangan dalam keputusan Jabatan Kehakiman dan saya menepati janji walaupun saya melihat anak saya didakwa dengan cara terpilih serta tidak adil,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.
Rumah Putih berulang kali menegaskan Biden tidak akan mengampuni atau meringankan hukuman anaknya, seorang penagih dadah yang semakin pulih dan menjadi sasaran Republikan, termasuk Presiden terpilih, Donald Trump.
“Tiada orang berfikiran waras yang melihat fakta kes Hunter boleh membuat kesimpulan selain daripada Hunter dijadikan sasaran hanya kerana dia adalah anak saya,” kata Biden.
Langkah itu sudah tentu menarik lebih banyak perhatian mengenai kebebasan sistem kehakiman AS, terutama ketika Trump berusaha untuk melantik penyokong setianya dalam Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman.
Anak Biden disabitkan dengan kesalahan awal tahun ini berkaitan pemilikan senjata haram dan berada di bawah pengaruh dadah.
Hunter dituduh membuat kenyataan palsu semasa mengisi borang untuk membeli pistol Colt pada Oktober 2018, yang menyatakan secara tidak benar mengenai penggunaan dadah dan kemudian mengisytiharkan kenyataan itu sebagai benar.
Pada September lalu, Hunter turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengelak cukai sebanyak AS$1.4 juta (RM6.2 juta) semasa berbelanja untuk dadah, pekerja seks dan barangan mewah.
Beliau dijangka menerima hukuman dalam kes tersebut pada 16 Disember ini.
“Tuduhan dalam kesnya timbul hanya selepas beberapa lawan politik saya di Kongres mendorongnya untuk menyerang saya dan menentang pemilihan saya.
“Saya percaya pada sistem keadilan, tetapi pada masa sama saya juga percaya politik kotor meresap dalam proses ini dan membawa kepada penganiayaan keadilan,” kata Biden.- AFP/REUTERS










