Ukraine hantar pulang 46 warga Russia yang ditawan di Kursk

Ukraine hantar pulang 46 warga Russia yang ditawan di Kursk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Ukraine memulangkan 46 rakyat Russia yang ditawan selepas pasukan tenteranya merampas sebahagian wilayah Kursk pada Ogos lalu, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Gabenor wilayah Kursk, Alexei Smirnov berkata, rundingan panjang dan sukar bagi membawa pulang rakyat Russia itu akhirnya membuahkan hasil.

“Penduduk kita kini menerima semua bantuan yang diperlukan,” tulisnya dalam saluran Telegramnya.

Menurut Smirnov, kesemua mereka berasal dari daerah Sudzha yang terletak berhampiran sempadan timur laut Ukraine dan telah dipulangkan melalui Belarus.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Russia, Tatyana Moskalkova, menerbitkan rakaman video yang menunjukkan keluarga bersama anak kecil dan warga emas menerima bantuan kemanusiaan sejurus tiba dengan bas.

Beliau mendakwa mereka dibawa keluar dari wilayah Kursk oleh tentera Ukraine selepas pencerobohan pada 6 Ogos lalu.

“Sepanjang masa ini, kami sentiasa bimbang, berhubung dengan keluarga dan mengumpul dokumen untuk membawa pulang rakyat kami,” katanya sambil menambah rundingan tersebut melibatkan Russia, Ukraine, Belarus, dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.

Ukraine belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai perkara ini.

Ketika ini, sebahagian wilayah Kursk masih dikuasai Ukraine meskipun Russia sedang berusaha mengusir pasukan Kyiv dari kawasan itu.

Sekurang-kurangnya 122,000 penduduk Kursk terpaksa dipindahkan selepas pihak berkuasa mengarahkan evakuasi susulan serangan tentera Ukraine yang disokong oleh serangan dron serta senjata berat, termasuk persenjataan buatan Barat.

Kedua-dua pihak, Kyiv dan Moscow, menafikan menyasarkan atau menahan orang awam, namun peperangan selama 33 bulan itu telah meragut ribuan nyawa, dengan majoriti mangsa adalah rakyat Ukraine. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN