TAIPEI: Seorang tentera sukarela Taiwan yang berjuang bersama tentera Ukraine dalam konflik menentang Russia dilaporkan terkorban, sekaligus menjadikan mangsa sebagai sukarelawan Taiwan kedua yang maut dalam peperangan tersebut, menurut Kementerian Luar Taiwan.
Lelaki itu merupakan anggota legion tentera asing Ukraine, kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya yang meminta identiti tentera tersebut tidak didedahkan.
Kementerian menyatakan laporan mengenai kematian lelaki tersebut diterima pada Sabtu dan telah disahkan melalui pejabat perwakilan Taiwan di Poland dengan kerjasama Legion Antarabangsa Ukraine.
Tiada butiran lanjut mengenai kematiannya yang diumumkan.
Pada permulaan pencerobohan Russia, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy secara terbuka menjemput orang asing untuk menyertai legion antarabangsa yang akan bertempur bersama rakyat Ukraine menentang Russia.
Media Taiwan mengenal pasti lelaki itu sebagai Wu Chung-ta, yang kembali ke Ukraine pada Julai lalu, selepas pulih daripada kecederaan pada kaki.
Sebelum berlepas buat kali kedua, Chung-ta dilaporkan memberitahu media, keluarganya menyokong keputusannya untuk menyertai peperangan.
Ahli Parlimen Taiwan, Puma Shen yang juga ahli jawatankuasa pertahanan memberitahu AFP terdapat lima hingga enam pejuang Taiwan yang berada di Ukraine ketika ini.
Sukarelawan Taiwan pertama yang terkorban di medan perang Ukraine dilaporkan pada November 2022. -AGENSI










