MOSCOW: Mahkamah Russia menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada dua tenteranya kerana membunuh sembilan sekeluarga di Ukraine.
Kes itu disifatkan contoh yang jarang berlaku di negara itu melibatkan penahanan anggota tenteranya untuk bertanggungjawab atas dakwaan jenayah perang.
Menurut pendakwa raya, keseluruhan keluarga Kapkanets ditembak mati di rumah mereka di bandar Volnovakha di wilayah Donetsk tahun lalu oleh Anton Sopov, 21, dan Stanislav Rau, 28.
Antara mangsa ialah dua kanak-kanak berusia lima dan sembilan tahun.
Keluarga itu dilaporkan sedang meraikan majlis hari lahir dan pegawai Ukraine berkata, pihaknya percaya kesemua mangsa dibunuh kerana enggan menyerahkan rumah mereka kepada tentera Russia.
Agensi berita negara Tass melaporkan, mahkamah tentera daerah selatan di Rostov-on-Don menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada kedua-dua lelaki itu kerana pembunuhan besar-besaran bermotifkan kebencian politik, ideologi, kaum, negara atau agama.
Kota Volnovakha di Ukraine ditawan oleh tentera Russia hanya beberapa minggu selepas pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022.
Russia menafikan semua dakwaan jenayah perang di Ukraine, walaupun bukti yang didokumenkan menunjukkan sebaliknya.











